Friday, September 1, 2017

September Pagi

Di Petronas pagi tadi satu-satunya pekerja asing yang bertugas menjaga kaunter tersenyum lebar sehingga menampakkan gigi. Melihatkan giginya aku tahu dia suka minum kopi.

Berbeza dengan aku. Tak minum kopi, muka masam, tak senyum nampak gigi.

Sedang aku memilih air mineral dari peti sejuk, aku terdengar penjaga kaunter ketawa kecil. Mustahil dia ketawakan aku sebab *periksa* zip seluar aku terkancing rapi, Alhamdulillah.

Aku bawa sebotol air mineral ke kaunter untuk dibayar, penjaga kaunter masih ketawa. Tanpa aku sedar, ketawa itu berjangkit ke aku sebab dari speaker telefon bimbit penjaga kaunter kedengaran anak kecilnya sedang menyanyikan lagu yang bahasanya aku tak faham untuk menghiburkan bapanya.

Sambil menyerahkan wang baki kepadaku, penjaga kaunter meminta maaf atas nyanyian anaknya di talian. Kemudian mereka berdua sambung bersembang dalam bahasa yang aku tak faham.

Aku keluar dari kedai tersenyum sehingga menampakkan gigi. Ah, tak pelik pun. Bila saksikan kasih sayang kesannya memang macam ni.