Thursday, November 13, 2008

Repost 4

Nota tambahan : Aku dah berjaya meninggalkan tabiat ini semula. Entri ditulis pada awal tahun ini.

Aku rasa ada di antara kamu yang tak tahu bahawa aku tak merokok. Iya. Aku dah berhenti merokok sejak setahun lalu.. Atas sebab-sebab kesihatan. Cara aku berhenti memang amat drastik. Tidak perlu amalan petua, tidak perlu nicotine patches, tidak perlu motivasi. Aku bangun pagi pada satu hari itu dan terus tidak merokok. Tidak beli rokok. Tidak minta rokok pada sesiapa.

Aku agak bangga dengan pencapaian aku itu. Sebab ianya tidak mudah.

Tapi Jumaat lepas aku tewas. Waktu itu, aku makan malam di Chili's KLCC bersama kawan-kawan aku ; Julie The Boring Banker, Nizz McNugget, dan Adrea Pemilik Lab Coat.

Selesai makan, Julie The Boring Banker mengeluarkan sebatang rokok Marlboro Lights. Dia nyalakan rokok. Mata aku rakus melihat rokok dia. Aku terus berkata, "Julie The Boring Banker, mintak sebatang rokok please." Dia suakan aku kotak rokok dia. Aku ambil, aku keluarkan sebatang rokok, aku nyalakan, aku mula hisap dan aku jumpa syurga dunia di KLCC.

Selepas aku berjaya menghisap 5 batang rokok Julie The Boring Banker, dia bertanya "Weh, bukan kamu dah quit hisap rokok ke? Aku baru teringat!" Aku jawab, "Lepas ni aku quit la balik."

Sangkaan aku meleset.

Pagi tadi, aku ke 7-Eleven. Beli biskut dan satu tin Coke. Bila di kaunter aku kata pada kakak 7-Eleven itu, "Kak, Marlboro Lights satu." Aku mintak kakak tu rokok dengan penuh perasaan malu dan takut, siap pandang kiri dan kanan. Maklumlah, dah lama tak beli rokok.

Kekok.

Sampai di rumah, aku on kan komputer, bersedia untuk buat kerja. Aku makan biskut. Aku togok Coke hingga hampir habis. Aku jeling kotak rokok yang tersergam indah di atas meja tulis. Aku capai. Dan aku mula hisap rokok. Aku rasa best. Abu rokok aku flick ke dalam tin Coke tadi, ashtray hilang.

Aku masih lagi tekun buat kerja setelah 2 batang rokok kemudian. Kerja. Kerja. Kerja. Kerja.

Sedang aku asyik buat kerja, aku capai tin Coke tadi dan togok.

Ya.

Dengan abu-abu rokok dan 2 putung rokok aku togok sekali. Hak tuih!

Namun, 8 kali hak tuih pun tidak dapat menghilangkan rasa kelat di lidah aku ni.

Apakah ini satu petanda?

Wednesday, November 12, 2008

Serangan Dua Hala

Minggu lalu, aku pulang ke Ipoh sebab aku dah mula rasa seperti tak sihat. Bila aku tak sihat, aku tak suka berseorangan jadi aku selalu akan pulang ke Ipoh untuk bersama keluarga.

Aku harus memandu pulang ke Ipoh sendirian.

Isi minyak kereta dan menangis tengok meter - Sudah.
Periksa minyak hitam - Sudah.
Pam angin tayar kereta - Sudah.
Isi kredit Smart Tag - Sudah.
Makan nasi lemak gerai bawah pokok 2 bungkus - Sudah.

Setelah bersedia, aku mulakan perjalanan. Hari pun tampak cerah ketika itu. Hari yang baik untuk pulang, aku fikir.

Pada awal perjalanan, segalanya berjalan lancar. Aku menyanyi-nyanyi dengan penuh perasaan sambil memandu seperti biasa. Siap pejam mata dan tertimbul-timbul urat di leher dan kepala akibat tarik suara dengan perasaan yang melampaui batas. Lagu-lagu apa yang aku nyanyi tak boleh didedahkan demi menjaga maruah aku dan keluarga.

Sedang aku memandu sambil menyanyi, aku dapati pandangan aku kabur. Aku fikir 'Kena tambah power spek mata nampaknya ni.' Aku ambil keputusan untuk mengelap spek mata aku, mana tahu dapat membantu jelaskan pandangan.

Bedebah.

Aku lupa pakai spek rupanya. Patutlah tak nampak. Sah, spek mata aku tertinggal.

'Tak mengapa', aku fikir untuk yakinkan diri, 'boleh nampak lagi ni.. asalkan tak hujan.'

Sejurus selepas keyakinan aku terbina, hujan turun dengan lebat, selebat-lebatnya.

Jahanam.

Aku menyumpah bukan pada hujan. Aku menyumpah pada kecuaian diri sendiri kerana tertinggal spek mata.

Aku berhenti seketika di hentian sebelah Ladang Bikam. Hujan semakin lebat. Tapi aku ambil keputusan untuk teruskan sahaja perjalanan.

Aku hanya mampu memandu selaju (seperlahan) 50km/j sepanjang perjalan dari hentian sebelah Ladang Bikam ke Ipoh kerana hujan tidak berhenti atau reda dan aku tidak nampak jalan.

Kalau kamu rasa itu malang, kamu salah. Ada yang lebih malang berlaku pada aku hari itu.

Entah macam mana, tingkap kereta aku rosak. Keempat-empat tingkap tidak boleh dibuka.

Aku tahu kamu sedang berfikir 'Kenapa Jebon nak buka tingkap kalau di luar sedang hujan lebat?'

Jawapan : Kerana memandu dalam keadaan rabun dan hujan lebat menjadi lebih sukar apabila ada dua ekor lalat berterbang-terbangan dengan laju dalam kereta sambil menyakat kamu.

Aku perlu belajar dari Mr. Miyagi macam mana nak tangkap lalat guna chopsticks. Sungguh bergaya.

Tuesday, November 11, 2008

Kejadian-Kejadian Misteri Yang Terjadi Kepada Aku Akhir-Akhir Ini

Kejadian 1.
Sudah beberapa kali, aku ke tandas untuk melakukan number one (buang air kecil), aku buka baju instead of seluar. Bila tersedar, aku akan malu sendiri lalu terketawa kecil dan pakai semula baju dan terlupa untuk melakukan number one.

Kejadian 2.
Aku ke stesyen komuter Subang Jaya pada satu hari untuk ke Bangsar. Hari itu, hari-malas-bawa-kereta aku.

Aku pergi ke mesin tiket, tekan butang destinasi dan masukkan jumlah wang yang cukup. Tiket keluar, aku ambil. Aku ucap 'Terima kasih' dan senyum lalu melangkah pergi ke tempat duduk untuk tunggu keretapi.
.....
Aku baru ucap terima kasih pada mesin ke tadi? Damn son..

Kejadian 3.
Sewaktu aku dan keluarga mula-mula pindah ke Ipoh, semua perkara tentang Ipoh aku benci. Semua benda ada saja yang tak kena. Kalau semua benda tak ada yang tak kena pun, aku akan jadikan benda itu tak kena juga.

Waktu itu aku 15 tahun dan pada umur itu, aku tak pernah berfikir lebih dari 10 saat. Jadi bila aku nampak ada Klinik Pakar Naga di belakang rumah aku, aku terus kata "Bodoh betul! Mana ada orang bela naga!"

Selepas beberapa bulan, baru aku tersedar yang itu bukan klinik untuk naga, tapi nama doktor itu Naga. Aku rasa nama penuh dia Nagaswari. (I'm sorry Dr. Naga)

Beberapa tahun yang lalu baru dia tambah 'Sakit Puan, Perbidanan dan Pembedahan'(dalam 4 bahasa) pada papan tanda klinik. Mungkin kerana ramai yang keliru seperti aku.

Mungkin juga kerana ada naga yang betul-betul datang untuk dirawat.. Hmmm....

Kejadian 4.
Kejadian ini berlaku banyak tahun yang lalu. Pengalaman ini aku lalui dengan Anak Mat Nor Nombor 2.

Kami sedang menonton televisyen, aku tak ingat cerita apa. Kemudian ada iklan filem Hong Kong yang akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi. Tajuk filem itu ialah Big Spender. Aku dan Anak Mat Nor Nombor 2 ketawa bersungguh-sungguh kerana pada fikiran kami, filem itu mengisahkan tentang seluar dalam (spender) yang besar (big).

Beberapa jam selepas itu baru terlintas di fikiran kami yang filem itu bukan filem tentang seluar dalam yang besar, tetapi tentang orang yang suka berbelanja (spend) besar.

Siapa yang bertanggungjawab pandai-pandai memulakan penggunaan perkataan spender sebagai kata ganti seluar dalam? Kau kejam.. Kerana kaulah aku membuat kesilapan bodoh ini.

Banyak lagi kejadian-kejadian bimbo seperti ini yang aku alami, lain kalilah aku cerita.

Agaknya, kalau aku amalkan memakan Kismis Minda Ustaz Ismail Kamus bolehkah aku mengurangkan kejadian-kejadian seperti ini?

Kamu rasa?

Saja Mahu Mencabar Minda Kalian

Kamu rasa berapa modal yang diperlukan untuk menghasilkan klip video di bawah?

Aku rasa lokasi percuma.

Menari-nari di belakang rumah pakcik saudara adalah percuma, selalunya.

Thursday, November 6, 2008

Uhuk Uhuk!

Pengumuman : Aku sekarang sedang sakit agak teruk dan dipaksa oleh Bini Mat Nor untuk berehat di Ipoh. Bini Mat Nor sedang menjaga aku dengan rapi sekali. Dia memaksa aku makan ubat-ubat yang rasa macam jahanam sebab dia kata "Ubat yang rasa macam jahanam adalah ubat yang terbaik."

Aku rasa Bini Mat Nor tipu.. Sebab apabila aku google, result menunjukkan bahawa the best medicine ialah laughter dan bukan ubat yang rasa macam jahanam.

Aku akan membalas komen dan mengemaskini blog dalam masa satu atau dua hari lagi. Minta maaf ya semua.. Doakan aku cepat sembuh please. Aku tak suka sakit lama-lama, tak boleh minum Slurpee.

Yang Sewaktu Sakit Akan Tidur Dalam Posisi Fetal,
Jebon Mat Nor