Tuesday, September 30, 2008

Entri Tanpa Guna 3

Sewaktu aku mengambil kuih dari rumahnya si Hanis Zalikha, aku menyedari sesuatu.

Aku sama tinggi dengan peragawati itu. Serius. Tak tipu.

Aku ukur masa aku berdiri lebih satu anak tangga dengan memakai kasut dan dia berdiri atas lantai tanpa memakai kasut.

Sama.

Nota tambahan : Ketinggian Hanis Zalikha ialah 168 cm. Oh well...

Selamat Hari Raya!!!!

Kepada semua yang membaca, aku ingin ucapkan selamat hari raya pada kamu.

Aku tiada kad untuk kalian tapi adalah lebih afdhal jika kamu bayangkan saja yang aku ada kad raya untuk kamu.

Kad imaginari yang aku ingin beri pada kalian bersaiz giant. Dan apabila dibuka akan keluar alunan muzik lagu 'Seloka Hari Raya' nyanyian Hail Amir dan Uji Rashid versi monofonik.

Haaa.... Istimewa bukan?

Oleh kerana aku tak reti membuat corak-corak bentuk masjid atau yang macam tattoo Sarawak tu, aku akan menampal muka hadapan kad aku dengan comic strip (komik bogel hotak kau!) ini.



Dan yang paling penting.. Sampul kad. Ia akan ditabur bedak supaya wangi (bukan Cuticura). Dan di tempat buka sampul kad itu, seperti yang selalu diamalkan budak-budak sewaktu aku sekolah rendah dahulu, aku akan tulis 'Senyum dahulu sebelum buka' dengan pen dakwat warna merah jambu.

Monday, September 29, 2008

Entri Yang Tertangguh Disebabkan Tiada Kawalan Masa Dan Terlalu Banyak Menonton Upin & Ipin

Hari Khamis, 250908.

Aku perlu ke rumah Puan Nani untuk mengambil kuih-kuih raya yang telah aku pesan sebelum ini.

Jam 12 tengahari, aku tiba di hadapan pagar rumahnya, seperti yang dijanjikan.

'Ting tong!' aku tekan butang loceng, nasib baik butang locengnya berfungsi. Tak payah aku buat bunyi 'Ting tong!' guna mulut.

Ya, kadang-kadang bila loceng rumah aku gagal berfungsi aku akan buat bunyi 'Ting tong!' guna mulut dengan suara yang sedikit nyaring. Entah kenapa.

Aku dijemput masuk ke rumah untuk mendapatkan kuih. Aku fikir 'Ah, kalau aku tahu akan dijemput masuk ke rumah, akan aku pakai stokin cantik aku.' Masa tu aku pakai stokin buruk (bau aku tak pasti), aku harap mereka tak perasan.

Aku disambut baik oleh Puan Nani dan anak-anaknya.. Alisya memang sangat comel. Dia tenung aku tak kelip-kelip mata seolah-olah hairan. Mungkin sebab rambut aku semacam..

Atau mungkin, dia perasan stokin aku buruk. Damn..

Setelah membuat bayaran, aku minta diri.

Di dalam kereta, 5 balang kuih mula bercakap sesama sendiri. Seperti donuts milik Nais, kuih juga boleh bercakap. Setiap balang kuih memujuk aku untuk merasai kesedapan mereka. Aku buat-buat tak dengar. Aku kuatkan volume radio, Safe From Harm dendangan (dendangan?!) Massive Attack berjaya menenggelamkan suara-suara kecil kuih.

Alhamdulillah, aku berjaya puasa hari itu walaupun dihasut oleh 5 balang kuih.

Hari Sabtu, 270908.

3 daripada 5 balang kuih raya yang sepatutnya dimakan semasa raya telah pun selamat dihabiskan.

Ada lagi 4 hari sebelum raya dan masih ada 2 balang kuih saja lagi.

Mampukan 2 balang kuih itu bertahan sehingga pagi raya?

Adakah aku akan terhabiskan kesemuanya sebelum pagi raya tanpa sedar?

.......

Mungkin.

Apa aku nak jawab kat Bini Mat Nor ni?

Friday, September 19, 2008

Maaf Kerana Lama Tidak Kemaskinikan Blog

Aku sebenarnya terlalu sibuk..

Aku terlalu sibuk mencari karipap ubi keledek yang sejati.

Asyik-asyik ubi kentang dengan sardin, ubi kentang dengan sardin.

Aku mahu karipap ubi keledek.

Tolong Jangan Terasa, Ini Teladan Untuk Semua

Tahun 2001, aku belajar di UiTM Shah Alam dalam jurusan TESL (Teaching English as a Second Language). Sebelum kamu semua tanya 'Oh, Jebon nak jadi cikgu ehhh?', baik aku beritahu; aku tak mahu jadi cikgu. Sebab aku tak boleh jadi cikgu. Aku bukan seorang yang penyabar. Serius.

Batch aku adalah batch pertama jurusan Pra-TESL di UiTM. Waktu itu tidak ada satu pun diantara kami yang memohon untuk jurusan itu di dalam borang permohonan IPTA (sebab jurusan itu tidak wujud pun di dalam borang). Semuanya applied untuk jurusan-jurusan lain seperti komunikasi massa atau perubatan atau engineering atau law.

Kiranya, batch aku adalah rejects dari jurusan-jurusan lain.

Sebab itu kami cool dan datang dalam pelbagai rupa bentuk.

Aku suka apa yang aku belajar. Aku paling suka matapelajaran sastera dan penulisan walaupun mungkin ramai yang tak percaya.

Percayalah.

Tetapi aku tak suka mata pelajaran yang melibatkan sistem pendidikan seperti Foundations of Education. Serius. Sepertimana kata parapnya ialah FOE, seperti itulah matapelajaran itu memang musuh aku.

Kampus kami bukan di kampus induk UiTM tetapi kampus kami terletak di Seksyen 17. Kami berkongsi kampus dengan PPP (Pusat Pendidikan Persediaan). Kampus tu tak berapa besar, aku suka. Persekitarannya lebih intimate (ini membolehkan kita makan semeja dengan pensyarah hippie cantik yang mengajar pelajar-pelajar PPP). Tetapi persekitarannya yang intimate itu ada juga keburukan.

Antara keburukannya ialah, orang-orang di situ suka bercakap pasal orang-orang lain.

Antara orang-orang lain itu ; akulah.

Kebanyakan mereka ada masalah dengan rupa dan perawakan aku.

Aku tak kisah. Dah biasa. Mereka fikir aku tak ada masalah dengan tudung ikan bawal oren mengejut yang dipadankan dengan kemeja hijau mengejut Polo Ralph Lauren buatan PKNS Shah Alam mereka itu? (Logo Polo Ralph Lauren yang sepatutnya lelaki menunggang kuda memegang kayu polo kelihatan seperti lelaki menunggang anjing yang bertongkat macam basikal) Tapi aku tak cakap apa-apa pun, aku biarkan saja mereka pakai apa yang mereka mahu. Itu hak mereka.

Selain dari cara pemakaian, ada diantara mereka juga yang tidak puas hati kenapa aku dapat masuk UiTM. Mereka kata aku tidak layak. Mereka kata aku dapat masuk UiTM sebab Mat Nor tolong.

Aku sedih juga.

Tetapi rasa sedih itu hilang ketika aku mendapat tahu yang orang yang mengata aku itu mendapat markah kosong untuk kertas penulisan pertama kami kerana dia telah menulis esei yang panjang lebar tentang pencemaran air padahal kami disuruh menulis tentang air pollution.

Aku tak layak kata dia? Aku?

Sunday, September 14, 2008

Repost 3

You are what you eat.

Tadi aku makan biskut Rocky waktu sahur.

Ini bermakna, aku adalah Rocky Balboa.

Saturday, September 13, 2008

Lima Belas Perkara Tentang Aku Y'all

Aku rasa aku telah ditag oleh Syed Husni.

Aku rasalah..

15 perkara tentang Jebs :

i. Aku ada lebih kurang 5 bantal di atas katil. Tapi aku hanya memerlukan dua untuk tidur. Satu untuk kepala, lagi satu untuk peluk. Bantal aku yang lagi tiga, aku susun di tepi badan.

Dan sebelum tidur aku akan selimutkan ketiga-tiga bantal lebihan itu sebab aku takut mereka sejuk. Tabiat ini diamalkan dari kecil.

ii. Aku baru saja pesan 4 jenis kuih untuk raya dari ibunya si Hanis Zalikha.

iii. Ada beberapa perkara tentang diri aku yang aku tak suka dan perlu ubah. Seperti kenapa dalam hati aku ni sedang menyanyi lagu Miley Cyrus yang 7 Things tu? Dan kenapa aku masih simpan cakera padat Aaron Carter yang siap ditandatangan oleh dia sewaktu dia membuat persembahan di Sunway Pyramid pada tahun 1997?

iv. Aku takut ketinggian dan tempat sempit. Serius. Sebab tu aku menghadapi kesukaran kalau nak naik lif. Dan apa-apa permainan di taman tema. Walaupun cawan-cawan gergasi yang berpusing-pusing tu.

v. Tanda lahir aku berbentuk 'W'. Aku fikir agak cool jika aku diberi nama yang bermula dengan huruf 'W' juga. Tapi ibu bapa aku memilih huruf 'J'. Aku terima saja.

Daripada nama aku Wohnen, lebih baik Jebon.

vi. Bapa aku menamakan aku selepas nama isteri Allahyarham P. Ramlee yang ke-rahsia. Adik aku yang ketiga pula dinamakan selepas nama bapa kepada isteri Allahyarham P. Ramlee yang ke-rahsia itu.

vii. Sewaktu kecil, aku suka tonton filem-filem muzikal seperti The Sound of Music atau South Pacific.

Setiap kali selepas/sambil menonton The Sound of Music, aku akan paksa Bini Mat Nor untuk menari dengan aku tarian lagu 16 Going On 17 dengan koreografi yang serupa. Prop yang digunakan hanyalah sofa yang disusun membentuk bulatan.

Kalau Bini Mat Nor silap step, aku akan betulkan dia hingga tariannya sempurna.

Susah jadi emak rupanya...

viii. Kemalangan pertama aku di jalanraya adalah sewaktu aku berumur 5 tahun. Aku dilanggar oleh Ek Chun sewaktu sedang mengutip biji saga untuk kajian berapa banyak biji saga yang boleh dimasukkan ke dalam hidung di depan rumah.

Ek Chun (8 tahun) yang sedang berlumba basikal dengan David(7 tahun) itu meminta maaf berkali-kali dan hampir menangis.

Lutut aku berdarah dan aku diselamatkan oleh pembantu rumah aku ketika itu, Kak Nab. Oleh kerana Kak Nab orang Kelantan, kadang-kadang dia bahasakan diri dia Kak 'Nak'.

Selain Kak Nab, jiran aku Siti Munirah juga datang untuk membantu. Aku dan Siti Munirah sebaya, kami sama tadika, kami kawan baik. Siti Munirah telah 'menjampi' daun kering yang dia kutip dari longkang depan rumah kami dan menepekkan daun ke atas luka aku. Pedih nak mampus atau bak kata Kak Nab 'pedih nok mapuh'. Tapi aku kawal airmata.

Selepas itu, aku dan Siti Munirah ajak Ek Chun dan David berlumba basikal dengan kami.

Aku dan Siti Munirah naik basikal pacuan 4 roda, Ek Chun dan David naik basikal BMX.

9. Aku tak tahu macam mana nak tulis, secara roman, nombor 9 ke atas.

10. Aku pernah merajuk dengan Mat Nor dan Bini Mat Nor sebab mereka tak mahu masukkan aku ke sekolah Sri Kuala Lumpur di belakang rumah aku ni. Aku tak faham kenapa mereka kejam.

Aku nak masuk ke sekolah Sri Kuala Lumpur tu sebab dalam filem Mira Edora, Julia Rais bersekolah di situ. Aku nak jumpa Julia Rais.

Susah sangat ke nak faham?

11. Dulu aku hafal sifir dengan bantuan Siti Sifir dari rancangan Along. Tapi watak kegemaran aku di dalam rancangan Along itu adalah pembaca 'Berita Matematik' yang bernama Roy Bahagi.

12. Sewaktu di sekolah, aku adalah mangsa buli. Nanti bila-bila aku akan ceritakan satu-satu.

Tapi yang paling aku ingat ialah kejadian di mana senior aku, seorang selebriti cantik, pernah menampal kertas yang tertulis 'Pathetic asshole' di belakang aku.

13. Aku pernah beli nombor ekor. Itu kali pertama dan terakhir. Aku beli pun sebab rasa ingin tahu yang melampau.

Kali pertama aku beli nombor ekor itu merupakan kali pertama juga aku pakai baju-t Semusim Di Neraka.

14. Aku suka tengok konsert dengan kawan-kawan. Tak kiralah konsert siapa pun, asalkan dengan kawan-kawan, mesti seronok.

Sewaktu Linkin Park datang ke Malaysia buat kali pertama, kawan-kawan aku ajak aku pergi. Aku tak suka Linkin Park tapi sebab kawan-kawan, aku beranikan diri untuk minta kebenaran dari Bini Mat Nor.

Aku : Mak, nak tengok Linkin Park boleh?

Mak : Linkin Park tu kat mana? Sejak bila suka pergi taman ni? Dating eh? (mula mengejek)

Aku : (insert bunyi cengkerik)

15. Aku dah menemui dua lagi kebolehan istimewa dalam diri aku.

- Boleh tahan kencing dari Melaka ke SS15 Subang Jaya (naik kereta)

dan

- Hati aku boleh dipatah-patahkan banyak kali. Selamba.

Aku tag : Semua orang!!!

Wednesday, September 10, 2008

Dedikasi 4

Kamu tahu kamu siapa.

Ada ramai penyelamat di luar sana.

Serius.

Jom mengurat. (lepas waktu berbuka)

Sunday, September 7, 2008

Sepasang Mata Yang Membawa Bagasi

Bila melihat ke cermin dan mendapati ada gegelung hitam di keliling kedua belah mata aku, aku merasakan yang gegelung hitam keliling mata itu mengingatkan aku kepada donat perisa cokelat.

Terbayang.

Makruh ke?

Di Dalam Dilema

Semalam aku menghadapi kesukaran untuk tidur walaupun aku sangat mengantuk.

Aku rasa aku terlelap pun dalam pukul 7 pagi tadi.

Mungkin.

Mungkin juga pukul 6.47... Aku tak pasti. Aku tak tengok jam.

Sekarang, aku baru bangun dari lena.

Aku bangun dan terus hidupkan komputer riba yang dah memang sedia ada atas riba aku sejak malam tadi.

Periksa Facebook. Main aplikasi permainan BlackJack. Kemudian tersedar 'Eh, bulan puasa tak baik berjudi.'

Aku pun main Text Twirl.

Tiba-tiba aku perasan akan sesuatu di bahagian bawah kanan skrin komputer riba dan terkejut. Aku toleh pada jam dinding pula. Terkejut juga. Lihat pula pada jam tangan yang tersadai di lantai. Terkejut lagi.

Sekarang aku di dalam dilema.

Jam dinding menunjukkan sekarang pukul 2.45 petang.

Jam tangan menunjukkan sekarang pukul 2.53 petang.

Jam komputer riba menunjukkan sekarang pukul 6.40 petang dan bermaksud waktu berbuka puasa kurang dari satu jam saja lagi.

Aku turun untuk mendapatkan kepastian dan pengertian dari Bibik, "Sekarang jam berapa Bibik?"

Bibik jawab, "Jam 3, sayang."

Ah! Aku mahu percayakan jam komputer riba saja.

Aku tak peduli.

Wednesday, September 3, 2008

Repost 2

Siapa lapar?

Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar.

Gagal.

Aku lapar sebenarnya. Jadi, daripada aku melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan KFC atau cendol SS15, lebih baik aku menulis.

Daripada aku berlumba haram atau berbalas sms di rangkaian @15 atau sms kan ON PANAS dan hantarkan kepada 32***, lebih baik aku menulis.

Aku ingat lagi, bulan Ramadhan 1994 ketika aku berumur 11 tahun (iya, aku kini berumur 25 tahun, cekap kemahiran mengira kamu). Aku ditangkap kerana makan potato chips di kantin sekolah pada waktu rehat oleh seorang pengawas perempuan sebaya yang aku tak kenali. Aku tidak berpuasa pada hari itu kerana aku lupa untuk bersahur dan sangat tidak larat.

Aku tak tahu yang orang Islam tak boleh makan di kantin sekolah pada bulan puasa. Itu kan tahun 1994, Kriss Kross pun dah tak pakai baju dan seluar terbalik. Takkan aku tak boleh makan di kantin? Tak
wiggidawiggidawiggidawacklah macam ni. Mungkin itu yang aku fikir ketika itu.

Jadi dengan angkuh tetapi graceful, pengawas itu mengheret aku berjumpa dengan cikgu disiplin.

Aku dimarahi sebab tidak berpuasa dan makan di kantin.

Agak teruk juga aku dimarah.

Jadi, sebagai seorang budak 11 tahun yang minat KRU hingga keluar berjalan-jalan pun pakai tracksuit seperti KRU, aku berdendam. Berdendam dengan pengawas cantik itu.

Betul, dia cantik. Ini bulan puasa, aku tak tipu.

Aku rasa cikgu disiplin tu marah aku teruk-teruk depan si pengawas cantik pun sebab dia nak tunjuk kejantanannya, dengan harapan si pengawas cantik akan menaruh hati pada dia.
Ah! Boleh belah la Cikgu Jamil! (Oh, terlepas cakap pula apa nama cikgu itu)

Mulai hari itu, aku berpuasa. Kalau tak puasa pun aku tidak akan makan di kantin di depan khalayak ramai, aku makan di bawah meja di dalam kelas.

Selang beberapa hari selepas aku dimarahi, aku ternampak pengawas cantik sedang makan nasi lemak di kantin dengan ekspresi muka yang tidak bersalah. Aku pun mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam dengan mengheret Cikgu Jamil ke kantin untuk menyaksikan sendiri perbuatan keji pengawas jelita itu.

Jebon :
Ha cikgu. Dia ni tak puasa cikgu tak marah pulak? Siap makan nasi lemak pulak tu!
Pengawas cantik :
(terpinga-pinga)
Cikgu Jamil : Hei bangang! (dia panggil aku bangang dengan bersahaja) Dia ni ugama Kristian! Nama dia Andrea Joan! Kenapa dengan kamu ni Jebon?!!
Jebon : Saya.. err.. saya.. Ini semua salah dia cikgu! Muka dia macam Melayu! Dia yang salah!

Hari itu, aku kena denda berdiri di luar kelas selama 1 jam sebab perbuatan dengki aku.

Aku malu.

Kesimpulannya, jika kamu nampak sesiapa yang rupa macam Melayu makan di khalayak ramai di bulan puasa, biarkanlah...

Kerana mungkin dia Cindian.

Sesiapa yang memegang kunci DeLorean time machine kepunyaan Martin McFly dari Back to the Future, tolong bawa aku ke tahun 1994 sekejap.

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Berpuasa Semua!

Jika aku tidak mahu pahala puasa aku dipotong akibat mengeji, memaki hamun, mengutuk dan hilang sabar, aku perlu elakkan diri dari menonton Living Lohan.

Serius.

Namanya Suyash 2

Superman di dalam video ini ada iras Suyash. Cuma Suyash lebih kacak sedikit lagi dan rambut Suyash lebih pendek dan kemas.

Enjois!

Monday, September 1, 2008

Namanya Suyash

Setelah Nima berpindah, aku telah menerima seorang teman serumah baru.

Namanya Suyash. Dia berasal dari Bombay. Muka dia sangat kacak, macam pelakon Bollywood.

Serius.

Bibik aku tak nak percaya bila aku kata yang Suyash adalah seorang jurutera di sebuah kilang di Shah Alam dan bukan seorang pelakon Bollywood.

Pada hari Suyash berpindah masuk, Suyash membawa beberapa orang kawannya yang juga berasal dari Bombay untuk membantu dia memindah masuk barang-barangnya.

Semua kelihatan seperti pelakon Bollywood.

Sewaktu kecil, aku selalu dipaksa untuk menonton filem-filem Hindustan oleh pembantu-pembantu rumah aku yang kebanyakkannya pada waktu itu berasal dari Kelantan. Tidak ketinggalan, makcik-makcik aku belah Bini Mat Nor. Mereka memang peminat filem Hindustan.

Ada satu filem Hindustan lama, yang aku lupa tajuknya, mempunyai satu babak di mana pihak polis (inspektor sahab lah, siapa lagi?) menyerbu rumah seorang penjahat yang tinggal bersama neneknya. Sambil penjahat itu digari (oleh inspektor sahab lah, siapa lagi?), neneknya menangis teresak-esak sambil menyanyi. Setiap langkah yang diambil oleh penjahat dari pintu rumah hingga ke kenderaan polis, diiringi dengan nyanyian sayu neneknya lantas disambut oleh nyanyian penjahat itu sendiri dan kalau tak silap aku inspektor sahab pun ada menyanyi dan menangis sedikit.

Nak kena masuk penjara pun sempat menyanyi.

Jadi, apa yang aku pelajari dari menonton filem-filem Hindustan ini adalah, mereka suka menari serentak mengikut irama dan menyanyi tidak kira waktu, tempat atau keadaan.

Maka, secara semulajadi, ketika aku melihat Suyash dan kawan-kawannya yang berbadan sasa mengangkat barang-barang, perabot dan bagasi masuk ke dalam rumah, dalam diam aku mengharapkan yang mereka akan menyanyi gembira bersama-sama dan menari serentak mengikut irama sambil mencampakkan serbuk-serbuk berwarna-warni ke udara. Dan yang perempuan pula akan melilit cantik sari di badan masing-masing (warna sari harus ada unsur-unsur 'shocking'). Dan mereka boleh bermain kejar-kejar dan menyorok di balik pokok betik belakang rumah aku.

Keadaan akan aku kira sempurna jika tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan mereka terus menari dan menyanyi sambil memindahkan barang-barang.

Boleh bayangkan? Sempurna bukan?

Tapi hampa.

Itu semua tidak terjadi pun.

Mungkin mereka takut Bibik aku akan mengamuk sebab nanti dia kena bersihkan serbuk warna-warni yang akan melekat pada lantai dan dinding rumah.

Mungkin.

Sekarang aku nak tanya Suyash adakah dia boleh mengalahkan pihak lawan jika dia diserang oleh 20 (atau lebih) orang jahat sekaligus.