Junz kau makan ubat pelupa bole tak? semua bende kau nak ingat lepas tu siap bole cerita balik sebijik sebijik pulak tu...dahsyat kau ni.Husni tulis ini di Wall aku selepas aku mengingatkan dia tentang perkara-perkara yang memalukan yang pernah berlaku sewaktu kami sama-sama belajar di UiTM Shah Alam dulu.
***
Tahun 2001, aku mula hidup dengan gelaran sebagai pelajar universiti. Itu kali pertama aku berjauhan dengan keluarga. Memang tak biasa. Kali pertama aku tinggal di hostel, kali pertama cari makanan sendiri, kali pertama makan mi segera campur serunding, kali pertama basuh baju sendiri/hantar dobi sendiri, kali pertama bila ponteng kelas beli M.C sendiri, dan banyak lagi benda yang kali pertama aku lakukan pada tahun itu.
Kiranya tahun itu, aku mula belajar untuk hidup sendiri.
Semester pertama aku hanya berkawan dengan budak-budak yang sama bilik dan kelas dengan aku sahaja. Aku memang susah berkawan. Maklumlah, pemalu (mari kita ramai-ramai kata
'Awwwww' sekarang).
Waktu itu aku belum mengenali Husni, dia kelas lain. Lagipun dia hidung tinggi (hidung tinggi untuk Husni membawa dua maksud. Satu : Sombong. Dua : Hidungnya tinggi secara literal, boleh gantung penyangkut baju atau bingkai gambar keluarga. Sila lihat gambarajah jika tidak percaya. Tinggi bukan hidung dia?)

Hidung dari tepi.
Jadi memang sepanjang semester pertama, aku tak pernah bercakap dengan Husni sebab aku tak gemar tengok muka dia. Aku rasa dia pun tak gemar tengok muka aku. Rasa
intimidated la tu. Tapi bila aku kata aku tak pernah bercakap dengan dia, tak bermaksud aku tak kenal dia. Satu kampus kenal dia. Mungkin sebab orang ingat dia pelajar dari program
student exchange ke apa sebab rupa dia memang..entahlah. Korang tengok je lah gambarajah lagi sekali.

Hidung dari depan.
Masuk semester kedua, aku kurangkan sikit sifat malu dan mula berjinak-jinak dengan orang ramai. Ramai sikitlah kawan aku masa ni. Tapi aku tetap tak berkawan atau bercakap dengan Husni. Entah kenapa, bila tengok dia rasa nak terajang. Aku pasti ramai orang yang rasa begitu terhadap Husni, kecuali perempuan-perempuan
naive yang tak tahu apa itu maksud buaya darat.
Satu malam, aku dan teman sebilik aku berjalan dari hostel ke 7-Eleven yang berdekatan untuk membeli makanan. Aku beli sekotak susu kacang soya dan sebungkus biskut Tiger. Kawan aku beli apa entah, aku tak ingat, tak penting pun.
Kawan aku tanya,
'Kau nak makan biskut je ke?'Aku jawab, '
Hak ah, biskut Tiger cicah soya bean sedap tau.'Kawan aku kata,
'Ewww...' dalam nada menghina makanan aku.
Selesai membeli kami jalan pulang menuju ke hostel. Untuk sampai ke hostel, kami kena melalui satu
skate park tak jadi yang dibina oleh budak-budak Shah Alam Seksyen 18. Kami nampak Husni dan Sabri (
teman sekelas aku) sedang melepak di
skate park tak jadi itu.
Sabri panggil kami,
'Woi! Woi! Meh la lepak sini!'Aku tak nak pergi, tapi aku paksa diri, pergi je lah..
Husni menyambut kami dengan senyuman tak ikhlas. Aku rasa macam nak tampar muka dia, tapi memandangkan tapak tangan aku lagi kecil dari hidung dia, aku batalkan niat itu. Aku balas dengan senyuman yang lagi tak ikhlas.
'Ambik kau!' aku kata dalam hati.
Tiba-tiba Husni kata,
'Lepakla sini kejap. Makan biskut Tiger cicah soya bean dengan aku. Sabri tak suka. Layan siyottt makan benda ni!', sambil mengeluarkan sekotak susu kacang soya dan sebungkus biskut Tiger.
Dari air susu kacang soya dan biskut Tiger itu aku tahu;
Aku boleh kawan lama dengan budak ni.
Aku boleh makan ubat pelupa atau makan semut banyak-banyak (orang kata kalau makan semut boleh jadi pelupa) untuk buangkan memori tentang Husni yang hafal lagu-lagu KRU dan Paula Abdul. Iya, Paula Abdul.
Favourite dia lagu
'Straight Up', dia hafal dengan
steps tarian sekali.
Tapi tentang susu kacang soya dan biskut Tiger ni, aku mahu simpan. Aku harap tiada ubat atau semut yang boleh buat aku lupa.