Thursday, December 11, 2008

Pengalaman Pertama Aku Dikacau Hantu

Amaran : Jangan cuba untuk menambahkan tahap saspen dengan mendengar lagu Stress sambil membaca. Dan sila baca dalam keadaan bilik yang terang-benderang (sebab membaca dalam keadaan gelap akan merosakkan mata).

Ramai diantara kawan-kawan aku yang memang dah sedia ada pengalaman dikacau hantu. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah belajar di sekolah asrama.

Tetapi aku mula bertemu dengan makhluk halus pada usia yang muda... Pengalaman pertama aku dikacau hantu berlaku ketika aku berumur 8 tahun. Tahun 1991. Tahun itu, tahun pertama aku dan Anak Mat Nor Nombor 2 tidur berasingan dari bilik Mat Nor dan Bini Mat Nor.

Ia berlaku pada satu malam. Aku tak berapa ingat, apa terjadi pada awal malam itu, tapi aku rasa yang aku masuk tidur tanpa mencuci kaki.

Aku memang selalu terlupa untuk cuci kaki. Gosok gigi pun aku selalu buat-buat lupa.

Malam itu, setelah mengucapkan (menjerit sekuat hati) 'Selamat malam' kepada seisi rumah, aku masuk ke bilik tidur.

Aku kunci jam loceng, sebab perlu ke sekolah keesokkan pagi.

Lepas tu aku selimutkan semua bantal-bantal.

Ah, baru boleh tidur dengan aman..

Tidur dengan aman. Tidur dengan aman. Tidur dengan aman.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi benda terjatuh dalam jam 5.30 pagi.

'Pak!' bunyi benda jatuh tu.

Aku tak berani buka mata luas-luas, jadi aku buka mata kecil-kecil.

Aku nampak makhluk berwarna putih seolah-olah sedang bertenggek berhampiran dengan meja tulis aku. Aku takut. Rasa mahu menjerit, tetapi macam ada gumpalan stokin dalam tekak.

Bila aku nak jerit, suara berdegil tak mahu keluar. Damn you suara!

Meja tulis aku terletak di sebelah tingkap, menghadap ke katil. Jadi, makhluk serba putih itu berada betul-betul di hadapan aku, dan ia kelihatan seolah-olah sedang tertunduk sedikit.

Sampai bila-bila aku tak akan lupakan visual itu.

Sampai bila-bila.

Aku pejam mata kuat-kuat dan menyanyikan lagu 'My Favourite Things' dalam hati.

'Girls in white dresses with blue satin sashes...' belum sempat habis menyanyikan lagu itu aku sudah terlelap semula..

Zzzzzz...

Aku terjaga semula pada jam 6.30 pagi. Jam loceng kejutkan aku. Aku lihat meja, makhluk putih sudah tiada... Aku lari capai tuala dan terus ke bilik mandi dan bersiap-siap untuk ke sekolah.

Di dalam kereta, sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, aku memberitahu Bini Mat Nor tentang kejadian mistik yang aku alami. Raut wajah Bini Mat Nor berubah dari ceria ke risau bila mendengar cerita tentang makhluk serba putih yang duduk di sebelah tingkap bilik aku. Aku lihat reaksi Bini Mat Nor seolah-olah dia merahsiakan sesuatu dari aku. Seolah-olah dia tahu mengenai makhluk serba putih itu. Seolah-olah dia juga pernah ternampak makhluk putih itu. Seolah-olah dia tahu yang bilik tidur aku sebenarnya 'berpenghuni'.

Bini Mat Nor kata, 'Imaginasi kamu je tu Jebon.. Jangan fikirkan sangat okay.' sambil kucup dahi aku dan aku turun dari kereta dan melangkah longlai masuk ke pagar sekolah. (Bila perlu ke sekolah, memang langkah aku longlai. Aku tak suka pergi sekolah)

Sepanjang hari aku asyik terfikir tentang makhluk serba putih itu dan mengapa Bini Mat Nor tak mahu berterus-terang sahaja pada aku tentang bilik tidur aku yang sememangnya haunted.

Sejak dari hari itu, aku tak tidur di bilik sendiri lagi. Aku heret Anak Mat Nor Nombor 2 untuk bersama-sama tidur di bilik Mat Nor dan Bini Mat Nor.

Aku trauma.

Selama seminggu aku tak dapat tidur dengan tenang. Kadang-kadang aku buat-buat mengigau. Aku akan buat-buat meracau 'Tidak! Tidak! Jangan! Jangan!' Saja nak buat Mat Nor dan Bini Mat Nor gelabah.

Masuk minggu kedua, barulah Bini Mat Nor berterus-terang.

Walaupun aku tak suka dengar kebenaran yang terpacul dari mulut Bini Mat Nor ketika itu, aku menerimanya dengan hati yang tabah.

Makhluk serba putih yang duduk di meja tulis aku adalah Bini Mat Nor yang bertelekung (baru selesai sembahyang subuh) dan sedang periksa buku latihan aku kut-kut ada homework yang aku tak buat.

Tak boleh ke periksa buku latihan waktu petang?

Dedikasi 5

Untuk Syarifah Hadli dan semua yang tak rasa begitu gembira lantas tak boleh tepuk tangan (Kenapa 'Kalau Rasa Gembira Tepuk Tangan'? Aku sarankan kamu semua tepuk benda lain bila gembira, sebab tepuk tangan taklah best sangat pun)

Aku nyanyi, kamu whistle. Jom.



Walaupun Monty Python menyanyi di waktu yang tak begitu appropriate, jangan samakan filem mereka dengan filem Bollywood.

Thursday, November 13, 2008

Repost 4

Nota tambahan : Aku dah berjaya meninggalkan tabiat ini semula. Entri ditulis pada awal tahun ini.

Aku rasa ada di antara kamu yang tak tahu bahawa aku tak merokok. Iya. Aku dah berhenti merokok sejak setahun lalu.. Atas sebab-sebab kesihatan. Cara aku berhenti memang amat drastik. Tidak perlu amalan petua, tidak perlu nicotine patches, tidak perlu motivasi. Aku bangun pagi pada satu hari itu dan terus tidak merokok. Tidak beli rokok. Tidak minta rokok pada sesiapa.

Aku agak bangga dengan pencapaian aku itu. Sebab ianya tidak mudah.

Tapi Jumaat lepas aku tewas. Waktu itu, aku makan malam di Chili's KLCC bersama kawan-kawan aku ; Julie The Boring Banker, Nizz McNugget, dan Adrea Pemilik Lab Coat.

Selesai makan, Julie The Boring Banker mengeluarkan sebatang rokok Marlboro Lights. Dia nyalakan rokok. Mata aku rakus melihat rokok dia. Aku terus berkata, "Julie The Boring Banker, mintak sebatang rokok please." Dia suakan aku kotak rokok dia. Aku ambil, aku keluarkan sebatang rokok, aku nyalakan, aku mula hisap dan aku jumpa syurga dunia di KLCC.

Selepas aku berjaya menghisap 5 batang rokok Julie The Boring Banker, dia bertanya "Weh, bukan kamu dah quit hisap rokok ke? Aku baru teringat!" Aku jawab, "Lepas ni aku quit la balik."

Sangkaan aku meleset.

Pagi tadi, aku ke 7-Eleven. Beli biskut dan satu tin Coke. Bila di kaunter aku kata pada kakak 7-Eleven itu, "Kak, Marlboro Lights satu." Aku mintak kakak tu rokok dengan penuh perasaan malu dan takut, siap pandang kiri dan kanan. Maklumlah, dah lama tak beli rokok.

Kekok.

Sampai di rumah, aku on kan komputer, bersedia untuk buat kerja. Aku makan biskut. Aku togok Coke hingga hampir habis. Aku jeling kotak rokok yang tersergam indah di atas meja tulis. Aku capai. Dan aku mula hisap rokok. Aku rasa best. Abu rokok aku flick ke dalam tin Coke tadi, ashtray hilang.

Aku masih lagi tekun buat kerja setelah 2 batang rokok kemudian. Kerja. Kerja. Kerja. Kerja.

Sedang aku asyik buat kerja, aku capai tin Coke tadi dan togok.

Ya.

Dengan abu-abu rokok dan 2 putung rokok aku togok sekali. Hak tuih!

Namun, 8 kali hak tuih pun tidak dapat menghilangkan rasa kelat di lidah aku ni.

Apakah ini satu petanda?

Wednesday, November 12, 2008

Serangan Dua Hala

Minggu lalu, aku pulang ke Ipoh sebab aku dah mula rasa seperti tak sihat. Bila aku tak sihat, aku tak suka berseorangan jadi aku selalu akan pulang ke Ipoh untuk bersama keluarga.

Aku harus memandu pulang ke Ipoh sendirian.

Isi minyak kereta dan menangis tengok meter - Sudah.
Periksa minyak hitam - Sudah.
Pam angin tayar kereta - Sudah.
Isi kredit Smart Tag - Sudah.
Makan nasi lemak gerai bawah pokok 2 bungkus - Sudah.

Setelah bersedia, aku mulakan perjalanan. Hari pun tampak cerah ketika itu. Hari yang baik untuk pulang, aku fikir.

Pada awal perjalanan, segalanya berjalan lancar. Aku menyanyi-nyanyi dengan penuh perasaan sambil memandu seperti biasa. Siap pejam mata dan tertimbul-timbul urat di leher dan kepala akibat tarik suara dengan perasaan yang melampaui batas. Lagu-lagu apa yang aku nyanyi tak boleh didedahkan demi menjaga maruah aku dan keluarga.

Sedang aku memandu sambil menyanyi, aku dapati pandangan aku kabur. Aku fikir 'Kena tambah power spek mata nampaknya ni.' Aku ambil keputusan untuk mengelap spek mata aku, mana tahu dapat membantu jelaskan pandangan.

Bedebah.

Aku lupa pakai spek rupanya. Patutlah tak nampak. Sah, spek mata aku tertinggal.

'Tak mengapa', aku fikir untuk yakinkan diri, 'boleh nampak lagi ni.. asalkan tak hujan.'

Sejurus selepas keyakinan aku terbina, hujan turun dengan lebat, selebat-lebatnya.

Jahanam.

Aku menyumpah bukan pada hujan. Aku menyumpah pada kecuaian diri sendiri kerana tertinggal spek mata.

Aku berhenti seketika di hentian sebelah Ladang Bikam. Hujan semakin lebat. Tapi aku ambil keputusan untuk teruskan sahaja perjalanan.

Aku hanya mampu memandu selaju (seperlahan) 50km/j sepanjang perjalan dari hentian sebelah Ladang Bikam ke Ipoh kerana hujan tidak berhenti atau reda dan aku tidak nampak jalan.

Kalau kamu rasa itu malang, kamu salah. Ada yang lebih malang berlaku pada aku hari itu.

Entah macam mana, tingkap kereta aku rosak. Keempat-empat tingkap tidak boleh dibuka.

Aku tahu kamu sedang berfikir 'Kenapa Jebon nak buka tingkap kalau di luar sedang hujan lebat?'

Jawapan : Kerana memandu dalam keadaan rabun dan hujan lebat menjadi lebih sukar apabila ada dua ekor lalat berterbang-terbangan dengan laju dalam kereta sambil menyakat kamu.

Aku perlu belajar dari Mr. Miyagi macam mana nak tangkap lalat guna chopsticks. Sungguh bergaya.

Tuesday, November 11, 2008

Kejadian-Kejadian Misteri Yang Terjadi Kepada Aku Akhir-Akhir Ini

Kejadian 1.
Sudah beberapa kali, aku ke tandas untuk melakukan number one (buang air kecil), aku buka baju instead of seluar. Bila tersedar, aku akan malu sendiri lalu terketawa kecil dan pakai semula baju dan terlupa untuk melakukan number one.

Kejadian 2.
Aku ke stesyen komuter Subang Jaya pada satu hari untuk ke Bangsar. Hari itu, hari-malas-bawa-kereta aku.

Aku pergi ke mesin tiket, tekan butang destinasi dan masukkan jumlah wang yang cukup. Tiket keluar, aku ambil. Aku ucap 'Terima kasih' dan senyum lalu melangkah pergi ke tempat duduk untuk tunggu keretapi.
.....
Aku baru ucap terima kasih pada mesin ke tadi? Damn son..

Kejadian 3.
Sewaktu aku dan keluarga mula-mula pindah ke Ipoh, semua perkara tentang Ipoh aku benci. Semua benda ada saja yang tak kena. Kalau semua benda tak ada yang tak kena pun, aku akan jadikan benda itu tak kena juga.

Waktu itu aku 15 tahun dan pada umur itu, aku tak pernah berfikir lebih dari 10 saat. Jadi bila aku nampak ada Klinik Pakar Naga di belakang rumah aku, aku terus kata "Bodoh betul! Mana ada orang bela naga!"

Selepas beberapa bulan, baru aku tersedar yang itu bukan klinik untuk naga, tapi nama doktor itu Naga. Aku rasa nama penuh dia Nagaswari. (I'm sorry Dr. Naga)

Beberapa tahun yang lalu baru dia tambah 'Sakit Puan, Perbidanan dan Pembedahan'(dalam 4 bahasa) pada papan tanda klinik. Mungkin kerana ramai yang keliru seperti aku.

Mungkin juga kerana ada naga yang betul-betul datang untuk dirawat.. Hmmm....

Kejadian 4.
Kejadian ini berlaku banyak tahun yang lalu. Pengalaman ini aku lalui dengan Anak Mat Nor Nombor 2.

Kami sedang menonton televisyen, aku tak ingat cerita apa. Kemudian ada iklan filem Hong Kong yang akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi. Tajuk filem itu ialah Big Spender. Aku dan Anak Mat Nor Nombor 2 ketawa bersungguh-sungguh kerana pada fikiran kami, filem itu mengisahkan tentang seluar dalam (spender) yang besar (big).

Beberapa jam selepas itu baru terlintas di fikiran kami yang filem itu bukan filem tentang seluar dalam yang besar, tetapi tentang orang yang suka berbelanja (spend) besar.

Siapa yang bertanggungjawab pandai-pandai memulakan penggunaan perkataan spender sebagai kata ganti seluar dalam? Kau kejam.. Kerana kaulah aku membuat kesilapan bodoh ini.

Banyak lagi kejadian-kejadian bimbo seperti ini yang aku alami, lain kalilah aku cerita.

Agaknya, kalau aku amalkan memakan Kismis Minda Ustaz Ismail Kamus bolehkah aku mengurangkan kejadian-kejadian seperti ini?

Kamu rasa?

Saja Mahu Mencabar Minda Kalian

Kamu rasa berapa modal yang diperlukan untuk menghasilkan klip video di bawah?

Aku rasa lokasi percuma.

Menari-nari di belakang rumah pakcik saudara adalah percuma, selalunya.

Thursday, November 6, 2008

Uhuk Uhuk!

Pengumuman : Aku sekarang sedang sakit agak teruk dan dipaksa oleh Bini Mat Nor untuk berehat di Ipoh. Bini Mat Nor sedang menjaga aku dengan rapi sekali. Dia memaksa aku makan ubat-ubat yang rasa macam jahanam sebab dia kata "Ubat yang rasa macam jahanam adalah ubat yang terbaik."

Aku rasa Bini Mat Nor tipu.. Sebab apabila aku google, result menunjukkan bahawa the best medicine ialah laughter dan bukan ubat yang rasa macam jahanam.

Aku akan membalas komen dan mengemaskini blog dalam masa satu atau dua hari lagi. Minta maaf ya semua.. Doakan aku cepat sembuh please. Aku tak suka sakit lama-lama, tak boleh minum Slurpee.

Yang Sewaktu Sakit Akan Tidur Dalam Posisi Fetal,
Jebon Mat Nor

Saturday, October 25, 2008

Labuhkan Punggung Kamu Di Sebelah Aku, Aku Mahu Beritahu Sesuatu Yang Berguna Buat Pertama Kalinya.

Kawan : Wei, nusyuz tu apa aa?

Pada mulanya aku tak pasti betul ke tak apa yang aku dengar.

Jebon : Apa soalan kau? Tolong ulang lagi sekali.

Kawan : Nusyuz, nusyuz. Apa maksud dia?

Aku fikir, 'Biar betul dia tanya aku soalan taraf tadika macam ni. Takkan itu pun dia tak tahu?'.

Jebon : Kasut barulah. (nada riak dan muka serius)

Kawan : Haaaaaaaaaaaaaaaa? (tidak percaya apa yang didengarinya)

Jebon : (buat muka 'itu pun tak tahu ke/son, you on crack')

Kepada semua yang membaca, ingat ini; nusyuz dan nu shooz adalah dua perkara yang berbeza. Jangan memalukan diri kamu.

Biarlah aku malu sendirian.

Friday, October 24, 2008

Sebab Badan Aku Bukan Macam Badan Malek Noor

Telefon bimbit aku sudah berusia lebih kurang 2 tahun.

Setiap kali orang melihat telefon bimbit aku mereka akan berkata "Ni handphone ke remote control aircond?". Aku tak faham kenapa. Hmm...

Selain dari alat kawalan jauh penghawa dingin, telefon bimbit aku juga sering dikatakan sebagai alat yang sesuai dibaling ke arah anjing. "Boleh baling kat anjing ni." Itu lagi satu ayat penyata yang aku kurang faham. Kenapa aku nak baling telefon bimbit aku pada anjing? Anjing itu nak buat panggilankah? Hmm...

*****

Pagi Selasa yang lalu, aku berjalan kaki ke klinik gigi di belakang rumah aku di SS15 ni. Gigi aku sakit, berlubang. Perjalanan dari rumah aku ke klinik gigi mengambil masa kurang dari 5 minit, tetapi kalau naik kereta akan mengambil lebih kurang 8 minit. Iya, setelah dibuat kiraan dalam bentuk lazim, aku jimat 3 minit.

Klinik yang aku kunjungi itu tiada pesakit lain kecuali aku. Aku gembira sebab tak perlu tunggu lama.

Setelah 5 minit menunggu doktor gigi menghabiskan sarapannya, nama aku dipanggil.

Aku masuk ke dalam bilik rawatan dan duduk di atas kerusi pesakit yang cool itu.

Nganga.

Ngaaaaaaaaa (bunyi nganga).

Doktor kata aku perlukan rawatan kanal akar (root canal). Aku tak tahu rawatan kanal akar itu apa, jadi aku beritahu pada doktor "Tolong beri masa sehari atau dua hari untuk saya berfikir."

Bunyi rawatan itu agak mengerikan, sebab itu aku tak mahu teruskan saja rawatan dan minta lebih masa untuk berfikir. Fikir konon. Padahal aku nak balik rumah dan Google apa ke jadahnya root canal ni. Oh, dan aku perlu tanya Baini. Pasti dia tahu. Dia pakar tentang pergigian. Dia ada gigi yang berbentuk seperti belalang. Cool kan?

Setelah membayar RM25 untuk ubat penahan sakit dan antibitotik, aku berjalan kaki menuju pulang ke rumah.

Semasa dah hampir nak tiba rumah, ada 2 orang pelajar Taylor's College berbangsa Cina berlari-lari dan menjerit ketakutan. Aku fikir 'Main kejar-kejar ke ni? Tak mungkin. Ada flasher kut. Patutkah aku lari sama? Hmm.. Tak perlulah. '

Kawasan rumah aku banyak flasher dan anjing gila kebelakangan ini. Memang bahaya. Aku sudah buat aduan pada MPSJ, tapi tindakan masih belum diambil.

Aku teruskan perjalanan. Dua orang gadis Cina yang berlari ketakutan tadi dah hilang dari pandangan. Laju betul dia orang lari.

Lagi 25 tapak nak sampai ke rumah aku, ternyata sangkaan aku meleset. Dua gadis tadi bukan dikejar flasher tetapi dikejar anjing gila.

Dan sekarang anjing gila yang paras fizikalnya lebih ganas dari Malek Noor itu sedang berlari ke arah aku.

Ke arah aku.

Aku jadi keras.

Kaku.

Can't. Think.

Cemas.

Hanya satu perkara saja yang terlintas di fikiran. Perkara yang selama ini aku tak fahami.

Sekarang aku sudah faham.

Hasilnya : Telefon bimbit aku separa berkecai dan perlu disamak.

Alasan Kukuh

Kebelakangan ini aku memang sibuk. Aku baru beli dvd siri tv Weeds musim keempat.

Untuk menambah lebih perasaan, aku tonton semula musim pertama, kedua dan ketiga. Dah habis tonton ketiga-tiga musim, barulah aku tonton musim keempat.

Oh, Nancy Botwin...


Monday, October 13, 2008

Wan Zai Y'All 2

Wan Zai adalah ibu kepada Mat Nor. Hubungan aku dan Wan Zai memang tidak rapat. Sangat tidak rapat sampaikan kadang-kadang dia terlupa nama aku.

Aku sebenarnya takut dengan dia. Aku rasa bukan aku seorang saja. Satu keluarga takut dengan dia. Satu kampung belakang rumah aku takut dengan dia.

Sebenarnya sesiapa yang kenal dia, akan takut dengan dia.

Aku rasa salah satu sebab kenapa orang takut pada dia adalah ekspresi kekal muka batu dia yang seolah-olah sedang kata 'Mess with the best, die like the rest' itu (namun begitu, aku tak rasa dia pernah tonton filem Hackers). Dari sini aku dapat fikir sendiri yang arwah datuk aku dulu sah-sahlah tidak jatuh cinta dengan Wan Zai pada pandangan pertama. Mungkin selepas pandangan keenam baru arwah datuk aku memulakan aktiviti ice breaking.

Macam mana agaknya orang zaman dahulu mengurat? Takkan arwah datuk aku kata "Do you have a map? Because I just keep on getting lost in your eyes", kut. Dan aku rasa zaman itu mengurat dengan membuat bunyi tikus guna mulut belum direka cipta lagi. Mungkin arwah atuk aku kata "Assalamualaikum kak long! Tak jawab berdosa". Kut.

Naaah..

Baik. Mari kita berbalik semula kepada topik asal ; Wan Zai ditakuti.

Wan Zai bukan sahaja ditakuti, dia juga tidak digemari oleh ramai orang.

Ramai yang suka bercakap perihal yang tidak berapa baik tentang Wan Zai. Wan Zai ni mangsa gosiplah kiranya.

Macam Fasha Sandha.

Aku tak boleh nak salahkan mereka yang bergosip tentang dia. Mana ada manusia yang sempurna. Wan Zai pun tidak sempurna. Semua yang terjadi pasti ada sebab. Kan?

Kan.

Jadi, gosip terbaru yang aku dengar tentang Wan Zai adalah dia membela hantu dan mengamalkan ilmu hitam. Hantu jenis apa aku tak pasti. Yang pasti, aku harap hantu yang dibela itu tak tahu baca blog.

Perlukah aku melakukan apa-apa tentang ini? Perlukah aku kaji hantu apa yang dibela? Perlukah aku siasat kesahihah berita ini?

...

Tak perlulah.

Nenek kamu bela kucing, nenek aku bela hantu.

Satu konsep.

Sunday, October 12, 2008

Entri Tanpa Guna 4

Pada mulanya, aku ingin menanyakan soalan ini kepada si ahli fizik nuklear, Melayu Minimalis, di dalam ruangan Tanya Abang Minimalis Lagi! (rasa satu macam juga nak panggil dia 'abang')

Tapi, tak jadi.

Jadi aku kemukakan soalan ini kepada kamu semua :

Motorsikal apakah yang tidak boleh bergerak tetapi hanya boleh berpusing?

Saya ulang, motorsikal apakah yang tidak boleh bergerak tetapi hanya boleh berpusing?

*
*
*
*
*
*
*
*

Jawapan : Motorsikal yang di atas Hard Rock Cafe.

Sunday, October 5, 2008

Gara-Gara Tidak Suka Pakai Cape, Thongs, Push Up Bra, Tidak Berambut Panjang dan Tidak Obviously Powerful

I am Spider-Man
























Spider-Man
70%
Catwoman
60%
Superman
60%
Robin
50%
The Flash
50%
Green Lantern
50%
Supergirl
45%
Hulk
45%
Iron Man
45%
Wonder Woman
35%
Batman
35%
You are intelligent, witty,
a bit geeky and have great
power and responsibility.


Click here to take the Superhero Personality Quiz


60% Catwoman? Deng...

Quiz dicadang oleh rakan superhero, Green Lantern.

Wednesday, October 1, 2008

Wan Zai Y'all

Wan Zai adalah nama ibu kepada Mat Nor. Oleh sebab dia orang Perak, nama dia jadi Wan Zei (macam nak sebut zen tapi huruf 'n' di silentkan).

Kami, the cucus, tak panggil dia Wan Zai (nak kena penampar panggil nenek guna nama?). Kami panggil dia Mak Tua. Aku kesian juga sebab nama panggilan dia 'Mak Tua'. Masa dia mendapat cucu yang pertama, umurnya 40-an. Baru umur 40-an dah kena panggil Tua. Mesti dia tertekan ketika itu.

Kesian...

Tadi aku disuruh menghantar Wan Zai ke rumah makcik aku, Munah. Perjalanan dari rumah aku ke rumah Munah hanya mengambil masa 5 minit sahaja.

Dalam 5 minit tu Wan Zai sempat menasihati aku agar jangan buat perkara yang tak baik seperti tidur dengan lelaki bukan muhrim (what.. the.. fook..). Aku dengar sahaja. Dia kata lagi 'Kalau Jebon nak kahwin, cakap je kat bapak. Mesti bapak bagi.' Aku angguk-angguk dan geleng-geleng di masa yang sesuai.

Sempat pula dia bercerita tentang teman lelaki pertamanya yang bernama Anwar. Aku dengar lagi.

Aku agak kagum dengan memori Mak Tua yang boleh ingat nama teman lelaki pertamanya. Kenangan cinta dari tahun 1930-an. Lama dah kan?

Sewaktu dia turun dari kereta, aku ucapkan 'Selamat hari raya ya, Mak Tua.'

Dia jawab dengan senyuman, 'Okey, terima kasih sebab hantar Mak Tua ya, Aman..'

Aman?! Siapa Aman?!

Apa Khabar Orang Kampung?

Menurut kata Husni dan Magenta, mereka sudah 3 tahun tidak beraya di Malaysia. Lama kan? Tapi ada juga orang yang tak pernah langsung beraya di Malaysia. Contohnya, orang-orang Republic of Congo.

Aku hanya pernah menyambut Hari Raya di luar Malaysia satu kali sahaja.

Sejak umur aku lingkungan waktu aku sedar yang aku bodoh matematik tambahan, Raya memang kurang memberi makna pada aku.

Bagi aku, Raya hanya bermaksud cuti tanpa rehat, makanan-makanan yang menggemukkan, orang-orang yang tak dikenali/saudara mara datang ke rumah untuk makan makanan-makanan yang menggemukkan, orang-orang yang tak dikenali/saudara mara bertanyakan bila aku mahu kahwin dan filem-filem Yusof Haslam atau Prof. Razak Mohaideen atau drama-drama airmata seperti Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Quran Buruk, semualah buruk, di televisyen.

Aku tiada semangat raya. Ibarat budak orang putih yang baru mendapat tahu yang Santa Claus tidak wujud (Iya Haris dan Hadi, Santa tak wujud. Kenyataan ini menyakitkan, tapi kita kena tabah okay?).

Setiap tahun perasaan yang sama, kecuali tahun lalu.

Tahun 2007, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang mulia, aku dan keluarga selamat tiba di Newark Liberty International Airport. Mat Nor perlu ke New York City atas urusan kerja, dan kami paksa dia untuk mengheret kami bersama.

Aku sangat gembira kerana dapat beraya di Manhattan (The five boroughs confuse me, tapi Husni, kau tak payah explain, aku malas dengar).

Ini bermakna aku dapat lari dari rutin raya yang biasa.

Aku tak perlu hadapi cuti tanpa rehat, makanan-makanan yang menggemukkan, orang-orang yang tak dikenali/saudara mara datang ke rumah untuk makan makanan-makanan yang menggemukkan, orang-orang yang tak dikenali/saudara mara bertanyakan bila mahu kahwin dan filem-filem Yusof Haslam atau Prof. Razak Mohaideen atau drama-drama airmata seperti Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Quran Buruk, semualah buruk, di televisyen.

Aku dapat pecahkan tradisi raya aku.

Aku teruja.

Mata mula bersinar.

'Raya tahun ini, pasti seronok.'

Mat Nor mendapat jemputan untuk menyambut Hari Raya bersama orang-orang Malaysia yang lain di penjabat konsul Malaysia. Ia terletak berhampiran dengan ibu pejabat United Nations, jadi waktu itu aku sangat berharap dapat terserempak dengan Angelina Jolie.

Gagal.

Hampa.

Suasana raya di pejabat konsul itu tak begitu meriah. Makanan semua adalah makanan segera. Ketupat segera. Rendang segera. Semuanya segera!

Kalau ada mi segera memang aku mengamuk, apa kejadah pagi raya makan Maggi? Langgar prinsip.

Orang-orang Melayu di pejabat konsul itu semua peramah. Aku tidak rasa terpinggir pun. Mereka buat aku sekeluarga rasa selesa.

Tapi aku rasa seperti kehilangan sesuatu.

Aku rasa raya aku tidak lengkap.

Aku rasa janggal beraya tak pakai baju raya.

Aku rasa janggal beraya dalam kesejukan.

Aku rasa janggal tak dengar bunyi mercun.

Aku rasa janggal beraya makan makanan tak sedap (tapi menggemukkan).

Aku rasa... raya aku tidak lengkap.

Aku mahu cuti tanpa rehat.

Aku mahu makanan-makanan menggemukkan.

Aku mahu orang-orang yang tak dikenali/saudara mara datang ke rumah untuk makan makanan-makanan yang menggemukkan.

Aku mahu orang-orang yang tak dikenali/saudara mara bertanyakan bila mahu kahwin lalu
buat aku tertekan.

Dan ya...

Aku juga mahu filem-filem Yusof Haslam atau Prof. Razak Mohaideen atau drama-drama airmata seperti Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Quran Buruk, semualah buruk, di televisyen.

Aku tak reti beraya di New York.

'Kampung betul kamu ni!' kata Bini Mat Nor bila mata aku berkaca sebab tak dapat makan nasi himpit dan kuah kacang yang tak segera.

I guess, masih ada lebih sedikit makna dalam perkataan Raya bagi aku after all.

Sedikit.

Tuesday, September 30, 2008

Entri Tanpa Guna 3

Sewaktu aku mengambil kuih dari rumahnya si Hanis Zalikha, aku menyedari sesuatu.

Aku sama tinggi dengan peragawati itu. Serius. Tak tipu.

Aku ukur masa aku berdiri lebih satu anak tangga dengan memakai kasut dan dia berdiri atas lantai tanpa memakai kasut.

Sama.

Nota tambahan : Ketinggian Hanis Zalikha ialah 168 cm. Oh well...

Selamat Hari Raya!!!!

Kepada semua yang membaca, aku ingin ucapkan selamat hari raya pada kamu.

Aku tiada kad untuk kalian tapi adalah lebih afdhal jika kamu bayangkan saja yang aku ada kad raya untuk kamu.

Kad imaginari yang aku ingin beri pada kalian bersaiz giant. Dan apabila dibuka akan keluar alunan muzik lagu 'Seloka Hari Raya' nyanyian Hail Amir dan Uji Rashid versi monofonik.

Haaa.... Istimewa bukan?

Oleh kerana aku tak reti membuat corak-corak bentuk masjid atau yang macam tattoo Sarawak tu, aku akan menampal muka hadapan kad aku dengan comic strip (komik bogel hotak kau!) ini.



Dan yang paling penting.. Sampul kad. Ia akan ditabur bedak supaya wangi (bukan Cuticura). Dan di tempat buka sampul kad itu, seperti yang selalu diamalkan budak-budak sewaktu aku sekolah rendah dahulu, aku akan tulis 'Senyum dahulu sebelum buka' dengan pen dakwat warna merah jambu.

Monday, September 29, 2008

Entri Yang Tertangguh Disebabkan Tiada Kawalan Masa Dan Terlalu Banyak Menonton Upin & Ipin

Hari Khamis, 250908.

Aku perlu ke rumah Puan Nani untuk mengambil kuih-kuih raya yang telah aku pesan sebelum ini.

Jam 12 tengahari, aku tiba di hadapan pagar rumahnya, seperti yang dijanjikan.

'Ting tong!' aku tekan butang loceng, nasib baik butang locengnya berfungsi. Tak payah aku buat bunyi 'Ting tong!' guna mulut.

Ya, kadang-kadang bila loceng rumah aku gagal berfungsi aku akan buat bunyi 'Ting tong!' guna mulut dengan suara yang sedikit nyaring. Entah kenapa.

Aku dijemput masuk ke rumah untuk mendapatkan kuih. Aku fikir 'Ah, kalau aku tahu akan dijemput masuk ke rumah, akan aku pakai stokin cantik aku.' Masa tu aku pakai stokin buruk (bau aku tak pasti), aku harap mereka tak perasan.

Aku disambut baik oleh Puan Nani dan anak-anaknya.. Alisya memang sangat comel. Dia tenung aku tak kelip-kelip mata seolah-olah hairan. Mungkin sebab rambut aku semacam..

Atau mungkin, dia perasan stokin aku buruk. Damn..

Setelah membuat bayaran, aku minta diri.

Di dalam kereta, 5 balang kuih mula bercakap sesama sendiri. Seperti donuts milik Nais, kuih juga boleh bercakap. Setiap balang kuih memujuk aku untuk merasai kesedapan mereka. Aku buat-buat tak dengar. Aku kuatkan volume radio, Safe From Harm dendangan (dendangan?!) Massive Attack berjaya menenggelamkan suara-suara kecil kuih.

Alhamdulillah, aku berjaya puasa hari itu walaupun dihasut oleh 5 balang kuih.

Hari Sabtu, 270908.

3 daripada 5 balang kuih raya yang sepatutnya dimakan semasa raya telah pun selamat dihabiskan.

Ada lagi 4 hari sebelum raya dan masih ada 2 balang kuih saja lagi.

Mampukan 2 balang kuih itu bertahan sehingga pagi raya?

Adakah aku akan terhabiskan kesemuanya sebelum pagi raya tanpa sedar?

.......

Mungkin.

Apa aku nak jawab kat Bini Mat Nor ni?

Friday, September 19, 2008

Maaf Kerana Lama Tidak Kemaskinikan Blog

Aku sebenarnya terlalu sibuk..

Aku terlalu sibuk mencari karipap ubi keledek yang sejati.

Asyik-asyik ubi kentang dengan sardin, ubi kentang dengan sardin.

Aku mahu karipap ubi keledek.

Tolong Jangan Terasa, Ini Teladan Untuk Semua

Tahun 2001, aku belajar di UiTM Shah Alam dalam jurusan TESL (Teaching English as a Second Language). Sebelum kamu semua tanya 'Oh, Jebon nak jadi cikgu ehhh?', baik aku beritahu; aku tak mahu jadi cikgu. Sebab aku tak boleh jadi cikgu. Aku bukan seorang yang penyabar. Serius.

Batch aku adalah batch pertama jurusan Pra-TESL di UiTM. Waktu itu tidak ada satu pun diantara kami yang memohon untuk jurusan itu di dalam borang permohonan IPTA (sebab jurusan itu tidak wujud pun di dalam borang). Semuanya applied untuk jurusan-jurusan lain seperti komunikasi massa atau perubatan atau engineering atau law.

Kiranya, batch aku adalah rejects dari jurusan-jurusan lain.

Sebab itu kami cool dan datang dalam pelbagai rupa bentuk.

Aku suka apa yang aku belajar. Aku paling suka matapelajaran sastera dan penulisan walaupun mungkin ramai yang tak percaya.

Percayalah.

Tetapi aku tak suka mata pelajaran yang melibatkan sistem pendidikan seperti Foundations of Education. Serius. Sepertimana kata parapnya ialah FOE, seperti itulah matapelajaran itu memang musuh aku.

Kampus kami bukan di kampus induk UiTM tetapi kampus kami terletak di Seksyen 17. Kami berkongsi kampus dengan PPP (Pusat Pendidikan Persediaan). Kampus tu tak berapa besar, aku suka. Persekitarannya lebih intimate (ini membolehkan kita makan semeja dengan pensyarah hippie cantik yang mengajar pelajar-pelajar PPP). Tetapi persekitarannya yang intimate itu ada juga keburukan.

Antara keburukannya ialah, orang-orang di situ suka bercakap pasal orang-orang lain.

Antara orang-orang lain itu ; akulah.

Kebanyakan mereka ada masalah dengan rupa dan perawakan aku.

Aku tak kisah. Dah biasa. Mereka fikir aku tak ada masalah dengan tudung ikan bawal oren mengejut yang dipadankan dengan kemeja hijau mengejut Polo Ralph Lauren buatan PKNS Shah Alam mereka itu? (Logo Polo Ralph Lauren yang sepatutnya lelaki menunggang kuda memegang kayu polo kelihatan seperti lelaki menunggang anjing yang bertongkat macam basikal) Tapi aku tak cakap apa-apa pun, aku biarkan saja mereka pakai apa yang mereka mahu. Itu hak mereka.

Selain dari cara pemakaian, ada diantara mereka juga yang tidak puas hati kenapa aku dapat masuk UiTM. Mereka kata aku tidak layak. Mereka kata aku dapat masuk UiTM sebab Mat Nor tolong.

Aku sedih juga.

Tetapi rasa sedih itu hilang ketika aku mendapat tahu yang orang yang mengata aku itu mendapat markah kosong untuk kertas penulisan pertama kami kerana dia telah menulis esei yang panjang lebar tentang pencemaran air padahal kami disuruh menulis tentang air pollution.

Aku tak layak kata dia? Aku?

Sunday, September 14, 2008

Repost 3

You are what you eat.

Tadi aku makan biskut Rocky waktu sahur.

Ini bermakna, aku adalah Rocky Balboa.

Saturday, September 13, 2008

Lima Belas Perkara Tentang Aku Y'all

Aku rasa aku telah ditag oleh Syed Husni.

Aku rasalah..

15 perkara tentang Jebs :

i. Aku ada lebih kurang 5 bantal di atas katil. Tapi aku hanya memerlukan dua untuk tidur. Satu untuk kepala, lagi satu untuk peluk. Bantal aku yang lagi tiga, aku susun di tepi badan.

Dan sebelum tidur aku akan selimutkan ketiga-tiga bantal lebihan itu sebab aku takut mereka sejuk. Tabiat ini diamalkan dari kecil.

ii. Aku baru saja pesan 4 jenis kuih untuk raya dari ibunya si Hanis Zalikha.

iii. Ada beberapa perkara tentang diri aku yang aku tak suka dan perlu ubah. Seperti kenapa dalam hati aku ni sedang menyanyi lagu Miley Cyrus yang 7 Things tu? Dan kenapa aku masih simpan cakera padat Aaron Carter yang siap ditandatangan oleh dia sewaktu dia membuat persembahan di Sunway Pyramid pada tahun 1997?

iv. Aku takut ketinggian dan tempat sempit. Serius. Sebab tu aku menghadapi kesukaran kalau nak naik lif. Dan apa-apa permainan di taman tema. Walaupun cawan-cawan gergasi yang berpusing-pusing tu.

v. Tanda lahir aku berbentuk 'W'. Aku fikir agak cool jika aku diberi nama yang bermula dengan huruf 'W' juga. Tapi ibu bapa aku memilih huruf 'J'. Aku terima saja.

Daripada nama aku Wohnen, lebih baik Jebon.

vi. Bapa aku menamakan aku selepas nama isteri Allahyarham P. Ramlee yang ke-rahsia. Adik aku yang ketiga pula dinamakan selepas nama bapa kepada isteri Allahyarham P. Ramlee yang ke-rahsia itu.

vii. Sewaktu kecil, aku suka tonton filem-filem muzikal seperti The Sound of Music atau South Pacific.

Setiap kali selepas/sambil menonton The Sound of Music, aku akan paksa Bini Mat Nor untuk menari dengan aku tarian lagu 16 Going On 17 dengan koreografi yang serupa. Prop yang digunakan hanyalah sofa yang disusun membentuk bulatan.

Kalau Bini Mat Nor silap step, aku akan betulkan dia hingga tariannya sempurna.

Susah jadi emak rupanya...

viii. Kemalangan pertama aku di jalanraya adalah sewaktu aku berumur 5 tahun. Aku dilanggar oleh Ek Chun sewaktu sedang mengutip biji saga untuk kajian berapa banyak biji saga yang boleh dimasukkan ke dalam hidung di depan rumah.

Ek Chun (8 tahun) yang sedang berlumba basikal dengan David(7 tahun) itu meminta maaf berkali-kali dan hampir menangis.

Lutut aku berdarah dan aku diselamatkan oleh pembantu rumah aku ketika itu, Kak Nab. Oleh kerana Kak Nab orang Kelantan, kadang-kadang dia bahasakan diri dia Kak 'Nak'.

Selain Kak Nab, jiran aku Siti Munirah juga datang untuk membantu. Aku dan Siti Munirah sebaya, kami sama tadika, kami kawan baik. Siti Munirah telah 'menjampi' daun kering yang dia kutip dari longkang depan rumah kami dan menepekkan daun ke atas luka aku. Pedih nak mampus atau bak kata Kak Nab 'pedih nok mapuh'. Tapi aku kawal airmata.

Selepas itu, aku dan Siti Munirah ajak Ek Chun dan David berlumba basikal dengan kami.

Aku dan Siti Munirah naik basikal pacuan 4 roda, Ek Chun dan David naik basikal BMX.

9. Aku tak tahu macam mana nak tulis, secara roman, nombor 9 ke atas.

10. Aku pernah merajuk dengan Mat Nor dan Bini Mat Nor sebab mereka tak mahu masukkan aku ke sekolah Sri Kuala Lumpur di belakang rumah aku ni. Aku tak faham kenapa mereka kejam.

Aku nak masuk ke sekolah Sri Kuala Lumpur tu sebab dalam filem Mira Edora, Julia Rais bersekolah di situ. Aku nak jumpa Julia Rais.

Susah sangat ke nak faham?

11. Dulu aku hafal sifir dengan bantuan Siti Sifir dari rancangan Along. Tapi watak kegemaran aku di dalam rancangan Along itu adalah pembaca 'Berita Matematik' yang bernama Roy Bahagi.

12. Sewaktu di sekolah, aku adalah mangsa buli. Nanti bila-bila aku akan ceritakan satu-satu.

Tapi yang paling aku ingat ialah kejadian di mana senior aku, seorang selebriti cantik, pernah menampal kertas yang tertulis 'Pathetic asshole' di belakang aku.

13. Aku pernah beli nombor ekor. Itu kali pertama dan terakhir. Aku beli pun sebab rasa ingin tahu yang melampau.

Kali pertama aku beli nombor ekor itu merupakan kali pertama juga aku pakai baju-t Semusim Di Neraka.

14. Aku suka tengok konsert dengan kawan-kawan. Tak kiralah konsert siapa pun, asalkan dengan kawan-kawan, mesti seronok.

Sewaktu Linkin Park datang ke Malaysia buat kali pertama, kawan-kawan aku ajak aku pergi. Aku tak suka Linkin Park tapi sebab kawan-kawan, aku beranikan diri untuk minta kebenaran dari Bini Mat Nor.

Aku : Mak, nak tengok Linkin Park boleh?

Mak : Linkin Park tu kat mana? Sejak bila suka pergi taman ni? Dating eh? (mula mengejek)

Aku : (insert bunyi cengkerik)

15. Aku dah menemui dua lagi kebolehan istimewa dalam diri aku.

- Boleh tahan kencing dari Melaka ke SS15 Subang Jaya (naik kereta)

dan

- Hati aku boleh dipatah-patahkan banyak kali. Selamba.

Aku tag : Semua orang!!!

Wednesday, September 10, 2008

Dedikasi 4

Kamu tahu kamu siapa.

Ada ramai penyelamat di luar sana.

Serius.

Jom mengurat. (lepas waktu berbuka)

Sunday, September 7, 2008

Sepasang Mata Yang Membawa Bagasi

Bila melihat ke cermin dan mendapati ada gegelung hitam di keliling kedua belah mata aku, aku merasakan yang gegelung hitam keliling mata itu mengingatkan aku kepada donat perisa cokelat.

Terbayang.

Makruh ke?

Di Dalam Dilema

Semalam aku menghadapi kesukaran untuk tidur walaupun aku sangat mengantuk.

Aku rasa aku terlelap pun dalam pukul 7 pagi tadi.

Mungkin.

Mungkin juga pukul 6.47... Aku tak pasti. Aku tak tengok jam.

Sekarang, aku baru bangun dari lena.

Aku bangun dan terus hidupkan komputer riba yang dah memang sedia ada atas riba aku sejak malam tadi.

Periksa Facebook. Main aplikasi permainan BlackJack. Kemudian tersedar 'Eh, bulan puasa tak baik berjudi.'

Aku pun main Text Twirl.

Tiba-tiba aku perasan akan sesuatu di bahagian bawah kanan skrin komputer riba dan terkejut. Aku toleh pada jam dinding pula. Terkejut juga. Lihat pula pada jam tangan yang tersadai di lantai. Terkejut lagi.

Sekarang aku di dalam dilema.

Jam dinding menunjukkan sekarang pukul 2.45 petang.

Jam tangan menunjukkan sekarang pukul 2.53 petang.

Jam komputer riba menunjukkan sekarang pukul 6.40 petang dan bermaksud waktu berbuka puasa kurang dari satu jam saja lagi.

Aku turun untuk mendapatkan kepastian dan pengertian dari Bibik, "Sekarang jam berapa Bibik?"

Bibik jawab, "Jam 3, sayang."

Ah! Aku mahu percayakan jam komputer riba saja.

Aku tak peduli.

Wednesday, September 3, 2008

Repost 2

Siapa lapar?

Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar. Aku tak lapar.

Gagal.

Aku lapar sebenarnya. Jadi, daripada aku melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan KFC atau cendol SS15, lebih baik aku menulis.

Daripada aku berlumba haram atau berbalas sms di rangkaian @15 atau sms kan ON PANAS dan hantarkan kepada 32***, lebih baik aku menulis.

Aku ingat lagi, bulan Ramadhan 1994 ketika aku berumur 11 tahun (iya, aku kini berumur 25 tahun, cekap kemahiran mengira kamu). Aku ditangkap kerana makan potato chips di kantin sekolah pada waktu rehat oleh seorang pengawas perempuan sebaya yang aku tak kenali. Aku tidak berpuasa pada hari itu kerana aku lupa untuk bersahur dan sangat tidak larat.

Aku tak tahu yang orang Islam tak boleh makan di kantin sekolah pada bulan puasa. Itu kan tahun 1994, Kriss Kross pun dah tak pakai baju dan seluar terbalik. Takkan aku tak boleh makan di kantin? Tak
wiggidawiggidawiggidawacklah macam ni. Mungkin itu yang aku fikir ketika itu.

Jadi dengan angkuh tetapi graceful, pengawas itu mengheret aku berjumpa dengan cikgu disiplin.

Aku dimarahi sebab tidak berpuasa dan makan di kantin.

Agak teruk juga aku dimarah.

Jadi, sebagai seorang budak 11 tahun yang minat KRU hingga keluar berjalan-jalan pun pakai tracksuit seperti KRU, aku berdendam. Berdendam dengan pengawas cantik itu.

Betul, dia cantik. Ini bulan puasa, aku tak tipu.

Aku rasa cikgu disiplin tu marah aku teruk-teruk depan si pengawas cantik pun sebab dia nak tunjuk kejantanannya, dengan harapan si pengawas cantik akan menaruh hati pada dia.
Ah! Boleh belah la Cikgu Jamil! (Oh, terlepas cakap pula apa nama cikgu itu)

Mulai hari itu, aku berpuasa. Kalau tak puasa pun aku tidak akan makan di kantin di depan khalayak ramai, aku makan di bawah meja di dalam kelas.

Selang beberapa hari selepas aku dimarahi, aku ternampak pengawas cantik sedang makan nasi lemak di kantin dengan ekspresi muka yang tidak bersalah. Aku pun mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam dengan mengheret Cikgu Jamil ke kantin untuk menyaksikan sendiri perbuatan keji pengawas jelita itu.

Jebon :
Ha cikgu. Dia ni tak puasa cikgu tak marah pulak? Siap makan nasi lemak pulak tu!
Pengawas cantik :
(terpinga-pinga)
Cikgu Jamil : Hei bangang! (dia panggil aku bangang dengan bersahaja) Dia ni ugama Kristian! Nama dia Andrea Joan! Kenapa dengan kamu ni Jebon?!!
Jebon : Saya.. err.. saya.. Ini semua salah dia cikgu! Muka dia macam Melayu! Dia yang salah!

Hari itu, aku kena denda berdiri di luar kelas selama 1 jam sebab perbuatan dengki aku.

Aku malu.

Kesimpulannya, jika kamu nampak sesiapa yang rupa macam Melayu makan di khalayak ramai di bulan puasa, biarkanlah...

Kerana mungkin dia Cindian.

Sesiapa yang memegang kunci DeLorean time machine kepunyaan Martin McFly dari Back to the Future, tolong bawa aku ke tahun 1994 sekejap.

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Berpuasa Semua!

Jika aku tidak mahu pahala puasa aku dipotong akibat mengeji, memaki hamun, mengutuk dan hilang sabar, aku perlu elakkan diri dari menonton Living Lohan.

Serius.

Namanya Suyash 2

Superman di dalam video ini ada iras Suyash. Cuma Suyash lebih kacak sedikit lagi dan rambut Suyash lebih pendek dan kemas.

Enjois!

Monday, September 1, 2008

Namanya Suyash

Setelah Nima berpindah, aku telah menerima seorang teman serumah baru.

Namanya Suyash. Dia berasal dari Bombay. Muka dia sangat kacak, macam pelakon Bollywood.

Serius.

Bibik aku tak nak percaya bila aku kata yang Suyash adalah seorang jurutera di sebuah kilang di Shah Alam dan bukan seorang pelakon Bollywood.

Pada hari Suyash berpindah masuk, Suyash membawa beberapa orang kawannya yang juga berasal dari Bombay untuk membantu dia memindah masuk barang-barangnya.

Semua kelihatan seperti pelakon Bollywood.

Sewaktu kecil, aku selalu dipaksa untuk menonton filem-filem Hindustan oleh pembantu-pembantu rumah aku yang kebanyakkannya pada waktu itu berasal dari Kelantan. Tidak ketinggalan, makcik-makcik aku belah Bini Mat Nor. Mereka memang peminat filem Hindustan.

Ada satu filem Hindustan lama, yang aku lupa tajuknya, mempunyai satu babak di mana pihak polis (inspektor sahab lah, siapa lagi?) menyerbu rumah seorang penjahat yang tinggal bersama neneknya. Sambil penjahat itu digari (oleh inspektor sahab lah, siapa lagi?), neneknya menangis teresak-esak sambil menyanyi. Setiap langkah yang diambil oleh penjahat dari pintu rumah hingga ke kenderaan polis, diiringi dengan nyanyian sayu neneknya lantas disambut oleh nyanyian penjahat itu sendiri dan kalau tak silap aku inspektor sahab pun ada menyanyi dan menangis sedikit.

Nak kena masuk penjara pun sempat menyanyi.

Jadi, apa yang aku pelajari dari menonton filem-filem Hindustan ini adalah, mereka suka menari serentak mengikut irama dan menyanyi tidak kira waktu, tempat atau keadaan.

Maka, secara semulajadi, ketika aku melihat Suyash dan kawan-kawannya yang berbadan sasa mengangkat barang-barang, perabot dan bagasi masuk ke dalam rumah, dalam diam aku mengharapkan yang mereka akan menyanyi gembira bersama-sama dan menari serentak mengikut irama sambil mencampakkan serbuk-serbuk berwarna-warni ke udara. Dan yang perempuan pula akan melilit cantik sari di badan masing-masing (warna sari harus ada unsur-unsur 'shocking'). Dan mereka boleh bermain kejar-kejar dan menyorok di balik pokok betik belakang rumah aku.

Keadaan akan aku kira sempurna jika tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan mereka terus menari dan menyanyi sambil memindahkan barang-barang.

Boleh bayangkan? Sempurna bukan?

Tapi hampa.

Itu semua tidak terjadi pun.

Mungkin mereka takut Bibik aku akan mengamuk sebab nanti dia kena bersihkan serbuk warna-warni yang akan melekat pada lantai dan dinding rumah.

Mungkin.

Sekarang aku nak tanya Suyash adakah dia boleh mengalahkan pihak lawan jika dia diserang oleh 20 (atau lebih) orang jahat sekaligus.

Tuesday, August 26, 2008

Misi 2 (Mission. Bukan jururawat, tahu?)

Jika ada antara kamu yang kata tak pernah beli dvd cetak rompak, kamu adalah penipu.

Kedai dvd kegemaran aku adalah yang di SS2 Petaling Jaya. Di kedai SS2 ini terdapat banyak filem yang ada di antaranya tidak boleh didapati di mana-mana kedai dvd original terkemuka pun. Sebagai contoh, filem Underground. Dan box sets siri-siri tv kegemaran aku (Weeds!!!! Atau Samantha Who? sebab dia comel).

Aku suka.

Tapi aku perasan, jika aku minta tauke kedai itu dvd yang memang betul-betul sukar didapati, sebagai contoh filem Jepun 'Welcome Back, Mr McDonald' (Nais, kau kedekut!), dia akan cakap 'Aiyo, soli la, sudah habis wo itu..'

Padahal dia memang tak ada jual pun dvd filem tu. Tapi dia takkan mengaku yang dia tak jual, dia akan kata dah habis dijual, no matter what.

Kalau kamu bosan dan tiada apa untuk dibuat, sila pergi ke kedai dvd berhampiran dengan kamu dan cuba minta satu dvd filem yang tidak wujud.

Macam 'kawan kepada kawan aku' (aku takkan buat benda yang membuang masa begini, ahem), 'dia' pilih peribahasa secara rawak sebagai tajuk filem yang kononnya 'dia' cari.

'Bos, itu dvd 'Melukut Di Tepi Gantang' ada ka?'

'Aiyo, soli la, sudah habis wo itu..'

Selamat mencuba.

Kalau tak nak guna melukut di tepi gantang, boleh guna peribahasa yang lain. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit ke, kacang lupakan kulit ke, sambil menyelam minum air ke.

Kalau tak tahu peribahasa, buka youtube, cari Karam Singh Walia.

Amaran keras : Mami Jarum atau Mami Jarum Junior bukan peribahasa.

Macam Mana Tak Jatuh Hati?


ungkapan laut di langit hitam
bintang dilihat dalam lautan
sangkutnya jala berukir hati
bagaikan cinta ku harap disisi
jaringan bibir bagaikan sesikat
nyiur dihanyut seimbas ombak
pohon ibu dilepas bayu
bagaikan hati menggisir batu
disinilah cinta menyerang aku
disinilah aku diserang kamu

-Bernice Chauly

Saturday, August 23, 2008

Misi (Mission. Bukan jururawat, tahu?)

Disebabkan gay juga membawa maksud happy, aku teringin nak pergi ke pandu-lalu McDonald's dan pesan satu Gay Meal untuk lihat reaksi orang yang mengambil pesanan makanan itu.

Mari.

Friday, August 22, 2008

Aku Banyak Belajar Geografi Menerusi Siri Tv Joe Jambul

Host (aku) : Di sini aku nak berkongsi tentang aku punya near-death experiences. Banyak kali juga aku mengalami kejadian di mana aku fikir aku sudah mahu menemui mati. Inilah kisah-kisahnya... (asap berkepul-kepul, host pun ghaib)

1. 1989 - Kudaku Lari Gagah Berani
Aku sekeluarga ke Kuantan untuk melawat kawan Mat Nor sepasang suami isteri yang bernama Aunty Yati dan Leslie Holmes. Leslie ni Mat Saleh. Dia handal bermain congkak walaupun tangannya 4 kali lebih besar dari lubang-lubang congkak.

Mereka ada seekor kuda putih. Aku rasa teruja bila melihat kuda itu lalu berkata 'Mat Nor, gua nak naikla kuda ni. Serius.' Mat Nor kata 'Wokay.' Rupa kuda putih itu memang sangat gagah dan kacak.

Aku tunggang kuda putih sambil terasa diri aku ni penunggang kuda profesional. Tapi tak sampai separuh bulatan padang aku tunggang kuda putih itu, ia mengamuk. Iya, kuda putih itu mengamuk dan meloncat-loncat dengan menggila. Aku? Aku terlontar jauh. Terlontar lalu terlantar.

Aku ingatkan aku nak mati ketika itu. Tapi tidak. Aku hanya mengalami sakit belakang yang kronik hingga kini.

2. 1990 - Yang Kurik Itu Kundi, Yang Merah Itu Saga
Di hadapan rumah aku ada banyak pokok saga. Proton Saga juga ada beberapa biji. Pada waktu ini, pemilik Proton Saga agak ekshen dengan Mat Nor sebab Mat Nor bawa kereta buruk bernama Datsun Laurel.

Berbalik kepada pokok saga. Aku sewaktu kecil memang senang untuk dihiburkan. Jadi aku suka mengutip biji-biji saga merah yang bertaburan di laman rumah aku. Aku kutip, aku kata 'Wow..' sambil besarkan mata dan aku simpan buat koleksi yang eksklusif sebab aku rasa kumpul setem tu leceh. Baik aku kumpul biji saga. Mudah dan murah. Koleksi eksklusif biji saga aku tu aku syampu setiap pagi dan simpan dalam gayung berisi air.

Satu hari, akibat terlalu bosan, aku ambil lebih kurang 4 biji saga dari koleksi eksklusif aku dan masukkan mereka ke dalam kedua lubang hidung aku. Aku nak pastikan hidung aku boleh memuatkan berapa biji biji saga. Aku lemas. 2 biji berjaya dikeluarkan. Lagi 2, agak degil. Aku berlari mencari Bini Mat Nor untuk mengadu. Bini Mat Nor panik. Aku lagilah panik.

Aku ingatkan aku nak mati akibat lemas ketika itu. Tapi tidak. Biji saga berjaya dikeluarkan dengan menggunakan tweezer.

3. 1989 - Anak Tekakku Bukan Anak Tekakku
Sewaktu kecil aku tak suka bermain dengan Barbie (tapi aku ada Ken). Aku lebih banyak alat permainan sukan ataupun yang ganas-ganas seperti peralatan polis, penangkap rama-rama, alat Red Indians dan yang lebih kurang begitulah.

Satu hari, kakak saudara aku dari Perak datang melawat. Aku ajak dia memanah menggunakan alat panah plastik aku. Entah macam mana, kami ended up bermain lawan pedang dengan menggunakan anak panah sebagai pedang.

Malang tidak berbau, kakak saudara aku terhunus anak panah tepat ke dalam mulut aku yang tengah ternganga-nganga menjerit 'Aaa tak kena! Aa tak kena!' Ha, ambik kau. Terdiam. Anak si panah tercucuk anak si tekak aku. Darah keluar melimpah. Mat Nor dan Bini Mat Nor terus berlari membawa aku ke SJMC.

Aku ingatkan aku nak mati ketika itu. Tapi tidak. Aku cuma tidak dibenarkan makan sambal belacan selama sebulan (Mat Nor dan Bini Mat Nor dari Perak, jadi aku memang dilatih untuk makan macam orang tua di kampung sejak dari tadika lagi).

4. 1992 - Kau Dah Gila Ke Setan?
Pada satu hari, rumah kami didatangi adik Mat Nor yang nombor..aisey, lupalah nombor berapa. Tapi nama sebenar dia kalau digabungkan dengan nama gelaran dia di kalangan anak-anak saudara akan menjadi Ranjang. Jadi kita panggil dia Ranjang dulu buat masa ini.

Ranjang datang ke rumah saja-saja untuk melawat. Waktu itu Mat Nor sedang bekerja dalam biliknya. Bila Mat Nor bekerja, tak ada siapa boleh mengganggu. Jadi Ranjang pun lepak bersama aku di ruang tamu. Aku kesian lihat dia bosan, jadi aku ajak dia main dam haji.

Aku sebagai kanak-kanak keliru yang tak punya kawan dan tak pernah memenangi apa-apa pastilah gembira di luar batasan apabila dapat mengalahkan Ranjang dalam permainan dam haji itu. Jadi aku pun menjerit-jerit menyambut kemenangan pertama aku. Aku mengaku, perbuatan aku ketika itu agak annoying, tapi aku 9 tahun dan tak ada kawan. Biarlah.

Oleh kerana tak tahan dengan jeritan kegembiraan aku dan juga kerana tak boleh menerima kekalahan, Ranjang mencekik aku dengan tangan lelaki 30-annya sambil menjerit 'Diam! Diam!'

Aku menjerit meminta tolong.

Datanglah Bini Mat Nor menyelamatkan aku dengan lagak superhero sambil menghalau dan mengugut Ranjang yang seperti orang hilang akal. Mat Nor yang tidak tahu apa-apa hanya mampu menjerit dari biliknya 'Oi, jangan happy sangat, nanti menangis!' (Happy kau kata? Aku dah separuh mati kena cekik dengan adik kau, kau kata aku happy?)

Aku ingatkan aku nak mati ketika itu. Tapi tidak. Bini Mat Nor sempat menyelamatkan aku dan sebab itu aku malas nak menang apa-apa permainan dan sengaja buat-buat kalah (alasan).

5. 2001 - Suntikan Padu Maut
Kejadian ini adalah kejadian yang aku rasa paling dekat dengan ajal.

Ia jatuh pada hari aku mengambil keputusan SPM di sekolah.

Aku yakin aku akan dibunuh dan dicincang oleh Bini Mat Nor. Sebelum masuk ke rumah dan menyerahkan slip keputusan pada Bini Mat Nor, aku memang dah siap-siap mengucap dah. Takut tak sempat.

Aku ingatkan aku nak mati ketika itu, akibat dibunuh Bini Mat Nor sebab menjadi satu-satunya pelajar dalam sekolah aku yang gagal Prinsip Akaun. Tetapi tidak. Aku tidak dibunuh.

Tapi aku telah membunuh harapan Bini Mat Nor. Dan rasa itu adalah lebih teruk.

Bini Mat Nor akauntan.

A Town Where Everyone Knows Everyone And Nothing Is What It Seems

Semalam aku terjumpa dvd siri tv kegemaran aku sewaktu aku kecil. Aku terus beli tak cakap banyak.

Siri tv itu adalah tak lain dan tak bukan, Twin Peaks.

Jadi aku akan mengadakan Twin Peaks marathon mulai dari sekarang.

P/S : Jika ada sesiapa yang terjumpa dvd siri tv Maero Attack (somersault berpusing!), sila beritahu aku. Ingat! Maero Attack. Oshin aku tak mahu. Sedih. Jika aku mahu sedih, aku boleh tonton Bersamamu TV3.

Thursday, August 21, 2008

Ada Sesiapa Yang Tahu Mana Aku Boleh Dapatkan Poket Doraemon?

Satu hari yang biasa. Aku beratur untuk membeli tiket wayang. Waktu itu, aku mahu menonton Susuk.

Dibelakang aku ada satu pasang kekasih. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang berumur lewat 20-an.

Mereka bersembang dan aku dengan tidak sengaja terdengar perbualan mereka.

Aku terdengar sebab mereka sembang agak kuat dan aku agak dekat dengan mereka.

Si Lelaki : Eh, you still rasa yang Kamal tu gay ke lepas lepak dengan dia semalam?

Si Perempuan
: Tak dah.

Si Lelaki
: Kenapa you rasa dia gay masa first time jumpa dia?

Si Perempuan : Sebab dia pakai lawa sangat.. and dia nampak segak. Kemas je.

Si Lelaki : Oh, so you suka dia la?

Si Perempuan : You jangan nak mula eh.. (hampir menyampah)

Si Lelaki
: You suka ke orang-orang gay ni? (pause) Macam pengkid buruk depan kita ni. (merujuk kepada aku)

Si Perempuan : You ni kenapa? (sambil menyuruh Si Lelaki perlahankan suara)

Aku marah. Dia panggil aku pengkid buruk. Buruk tu aku boleh terimalah. Tapi aku bukan pengkid. Aku manusia tanpa label. Sama seperti semua orang.

Aku marah tapi aku tak lakukan apa-apa. Aku diam saja.

Terus beratur.

Terus dengar perbualan mereka.

Si Perempuan
: You jangan buat perangai kat sini please la.

Si Lelaki : You la, kata Kamal tu handsome apesal?

Si Perempuan
: Dah memang dia handsome.

Si Lelaki : So that's mean you suka dia lah kan?

Di situ peluang untuk aku bersuara.

Aku toleh dan aku kata, "Abang, bukan that's mean tapi that means. Abang salah. Saya betul. Satu markah untuk saya. Kosong markah untuk abang. Yang abang panggil saya pengkid buruk tu... that's mean."

'Next!' jerit jurutiket wayang.

Kan seronok kalau jurutiket tu jual susuk yang sebenar sekali dan bukan hanya tiket filem Susuk. Boleh aku cucuk satu dalam muka. Dan mungkin lain kali orang boleh melabel aku sebagai pengkid cantik pula.

Taklah terasa sangat.

Kut.

Entri tanpa guna 2

Teka-teki yang boleh membuatkan aku kena belasah jika aku berikan pada King Lhota jiran hip hop aku.

Teka-teki : Duit syiling apa yang paling gelap?

*
*
*
*
Jawapan : 50 Cent

Aku baru habis dengar syarahan selama 6 jam tanpa henti, maafkan aku. Please.


Manipulasi

Bercakap dengan Sue Anna Joe untuk pertama dan terakhir kali setakat ini.

Rantai Art Event,
MIA Arthouse,
2007

Jebon : Hello. Maaf, tumpang tanya. Paintings tu untuk dijual ke? (mumble, sebab memang semulajadi)

Sue Anna Joe : Huh? (sambil menjahit sesuatu)

Jebon : Tu.. paintings tu.. untuk dijual ke? (mumble lagi, sebab memang semulajadi)

Sue Anna Joe : (berhenti dari menjahit seketika untuk melihat muka aku) Huh?

Jebon : Takde apa-apa. Terima kasih. (senyum sambil maki diri sendiri sebab suka mumble. Lain kali cakap buka mulut! Mesti buka mulut!)

Di luar bungalow tersebut.

Kenalan Jebon : Dah rasa Sue Anna Joe punya Chocolah?

Jebon : Oh, aku baru je sembang dengan dia kat dalam tadi (nada angkuh, tak jawab pun soalan pasal Chocolah)

Kenalan Jebon : Iya ke?! Kau sembang apa dengan dia?

Jebon : Pasal paintings.

Kenalan Jebon : Waaah.. Kau kenal dia ke? (terpegun)

Jebon : Kenal la (dia je tak kenal aku). Aku kan kawan dengan dia kat MySpace.

Kenalan Jebon : Waahhh...

Jebon : (Kau tak tau ke dia ada 83,304 kawan di MySpace? Aku mungkin yang ke 73,283)

Aku baru potong rambut

Sekarang rambut aku sebijik macam ni. Rambut sahaja. Kening dan telinga tidak.
Tapi aku sangat teringin jika boleh membentuk kening aku menjadi bentuk logo Nike. Mungkin itu boleh membuatkan aku dipaparkan dalam I Got Shot In The City. Hm..

2 Orkid

Seorang lelaki menyambut harijadinya yang ke-98 dan memenangi loteri tetapi dia mati keesokan harinya dengan selamba.

Ironik.

(ayat pertama dipetik dari baris pertama lagu 'Ironic' nyanyian Alanis Morissette)

Sewaktu aku berumur 8 tahun, aku sangat aktif bersukan. Aku menjadi pemain badminton sekolah pada waktu itu. Aku tak ramai kawan, jadi aku jadikan raket badminton sebagai kawan karib. (Sekarang ada kawan aku yang badannya berbentuk seperti raket badminton. Kebetulan? Kebetulan)

Aku tak tahu mengapa, tapi orang-orang di sekeliling aku tak suka memberitahu aku benda atau informasi. Jadi pada satu hari, sedang aku didenda berdiri oleh Puan Chong (yang garang tapi hot) sebab tak hafal sifir 6, kelas aku didatangi Cikgu Ismail.

Cikgu Ismail kelihatan agak cemas. Dia ketuk pintu kelas dan minta kebenaran Puan Chong untuk berjumpa dengan aku sekejap.

Aku pun jadi cemas.

Aku berhadapan dengan Cikgu Ismail, tapi aku tak berani renung matanya sebab aku ingatkan dia nak marah aku. Jadi aku pun pandang bawah. Pandang arah kasut Cikgu Ismail. Dia pakai kasut ketupat warna cokelat. Alah, kasut yang ada anyaman kat depan tu. Kasut itu membuat aku teringat yang projek seni anyaman aku belum siap.

Cikgu Ismail kata, 'Jebon, awak tak tahu ke hari ni ada perlawanan badminton antara sekolah?! Kenapa awak tak datang gelanggang?'

Aku kata 'Tak ada orang beritahu saya pun cikgu?'

Cikgu Ismail kata lagi, 'Takpe, kita dah tak ada masa ni. Awak pergi siap sekarang. Saya tunggu awak di gelanggang. Cepat sikit!' Kemudian Cikgu Ismail terus pergi berlalu.

Aku bertambah cemas sebab aku tak bawa baju sukan. Hari tu aku tak ada pendidikan jasmani.

Jadi aku pergi ke gelanggang dan meneruskan setiap perlawanan badminton dengan berbaju kurung.

Selamba.

Aku jadi juara. Semua orang happy.

Aku tak berapa happy. Aku mula berfikir, kalau aku ada kawan atau kalau orang suka aku, mesti aku tak perlu main badminton pakai baju kurung. Mesti aku boleh pinjam baju sukan sesiapa.

Untuk sedapkan hati, aku berkata pada diri sendiri 'Kalau pakai baju sukan, mungkin takkan jadi juara. Ni berkat tutup aurat mungkin.'

Pada hari Isnin berikutnya, kelas terakhir aku ialah pendidikan jasmani sebelum perhimpunan mingguan sekolah. Satu kelas aku berpakaian sukan ketika perhimpunan.

Pada hari itu juga, aku dipanggil ke atas pentas untuk sesi penyampaian hadiah pertandingan badminton yang aku menang minggu sebelumnya.

Aku naik ke pentas untuk mengambil hadiah dengan baju sukan.

Ironik kan?

Seorang lelaki menyambut harijadinya yang ke-98 dan memenangi loteri tetapi dia mati keesokan harinya dengan selamba.

Seorang pelajar main badminton dengan memakai baju kurung sekolah lengkap dengan brooch dan tag nama tetapi menerima hadiah di majlis formal berpakaian sukan yang seluar tracknya ada sedikit terkoyak di bahagian lutut.

Bukankah ironik? Kau fikir?

Wednesday, August 20, 2008

Dedikasi 3

Pelawat (wanita) blog aku yang paling tinggi (dari segi saiz) :

Suka memaksa kucingnya posing, membuat photoshoot dengan adik perempuannya dan menjadikan bulu ayam sebagai prop, sangat rapat dengan keluarganya, pernah menonton perlawanan bola di stadium, tahu translate menggeliat kepada bahasa Inggeris, ada kebolehan membuat lesung pipit diri sendiri (dan orang lain) lenguh, suka masukkan perkataan 'macam' ke dalam kebanyakkan ayatnya (contoh : Hanis tu macam tinggi sangat la, macam sangat tinggi la, macam..macam mana nak cakap aa.. macam Michael Jordan la macam tu), pandai membuat pancakes berbentuk Hello Kitty dan macam banyak lagilah.

Kesimpulan : Dia macam sangat cantik la, macam sangat kelakar jugak la dan macam sangat tinggi la.

Serius.

Dia Hanis Zalikha.

Thursday, August 14, 2008

Anak Mat Nor no. 3 dan Festival Filem Malaysia Ke-21

Festival Filem Malaysia yang Ke-21 telah berlangsung pada hari Sabtu lepas. Tahniah kepada semua pemenang.

Aku bukan nak buat ulasan tentang majlis tersebut. Aku hanya nak bercerita tentang apa yang adik aku, Anak Mat Nor no. 3, telah lakukan.

Pada hari Jumaat, dia telah memberitahu aku yang dia akan menghadiri majlis FFM itu dengan budak-budak jurusan filem institut pengajiannya yang lain.

Adik aku adalah seorang pelajar filem yang berumur 18 tahun dan salah satu pensyarahnya ialah Hishamuddin Rais. Ingat tu.

Filem - 18 tahun - Hishamuddin Rais.

Maka, dia dan 2 orang lagi kawannya memakai t-shirt pagoda nipis putih (yang buruk gila, sumpah!) yang tertulis 'KAMI MAHU ARTISTS, BUKAN CELEBRITIES' di atasnya untuk ke majlis itu.

Perkara yang aku jangka akan berlaku di majlis itu tetapi tidak berlaku pun :
Adik aku dan 2 orang kawannya akan dibaling dengan kasut oleh Hans Isaac, Jehan Miskin, Fasha Sandha atau Erra Fazira.

Perkara yang aku tidak jangka berlaku tetapi berlaku di majlis itu :
Jehan Miskin memberi respon yang bernas terhadap apa yang tertera di baju adik aku dan kawan-kawannya. Respon dia berbunyi 'Saya tak pandai melukis.'

(insert lagu tema siri tv 'Kisah Benar' selepas baris terakhir untuk efek 'Boleh tahan misteri jugak mamat ni')

Maksudnya, ini bukan lukisan Jehan Miskin?

Kebaikan kadangkala dibalas dengan kejahatan, tau?

Monday, August 11, 2008

Jiran aku artis hip hop. Jiran kamu?

Rumah sebelah kiri rumah aku dihuni oleh sekumpulan pelajar-pelajar kulit hitam Taylor's College dari Afrika. Mereka suka pasang lagu-lagu hip hop kuat-kuat seolah-olah rumah mereka itu adalah sebuah kelab malam hip hop. Mereka pasang lagu-lagu itu sepanjang malam dan menyebabkan aku dan jiran-jiran lain sukar untuk tidur.

Aku panggil rumah mereka Ghetto Heaven.

Pagi tadi sewaktu aku hendak memandu keluar dari pagar rumah, aku dihentikan oleh salah seorang penghuni Ghetto Heaven. Penghuni Ghetto Heaven 1 nama dia.

Aku turunkan cermin tingkap kereta dan berkata "Whuttup foo?" dalam hati.

Penghuni Ghetto Heaven 1 itu memakai serba putih, nampak bersih tapi seluarnya itu boleh memuatkan aku empat beradik.

Dia menyerahkan aku cd. Setelah dia ulang tiga kali, barulah aku faham yang dia kata itu album dia dan dia bagi aku percuma.

Aku bukan apa, tapi orang-orang kulit hitam dari Afrika yang tinggal di kawasan rumah aku ni suka menyamar sebagai Americans untuk mengurat wanita. Kononnya mereka P. Diddy, 50 Cent, Jay Z. Dan SS15 Subang Jaya ini adalah Brooklyn atau Queens. Hmm.. SS15 macam Brooklyn.. Di Brooklyn ada tak wanita-wanita tua Cina yang buat senaman tai chi berirama di taman permainan?

Dari segi pemakaian, memang boleh lepas jadi Jay Z, tapi bila buka mulut untuk bercakap, memang agak kantoi dengan loghat mereka yang sukar difahami. Mungkin juga aku yang pekak.

Mungkin.

Jadi, aku ucapkan terima kasih pada Penghuni Ghetto Heaven 1 atas pemberiannya itu. Aku pandu terus. Aku lihat kulit muka album itu, baru aku tahu, nama dia King Lhota. Nama album dia Posi+iv Vibrationz.


Aku rasa sedikit terharu sebab King Lhota menghadiahi aku albumnya walaupun aku tak pernah bertegur-sapa dengan dia.

Terima kasih King Lhota.

Kalaulah dia tahu yang setiap kali polis datang ke rumahnya untuk beri amaran akibat pasang lagu kuat sangat tu sebab aku yang buat aduan....

Monday, August 4, 2008

Aku manusia biasa yang tak mungkin ditonjolkan di dalam I Got Shot in the City

Beberapa minggu yang lalu, sedang aku nyenyak tidur, aku dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat kuat. Bunyi tu kalau dieja, macam ni la ejaan dia 'Gedegang!'.

Aku periksa jam, pukul 5.30 pagi. Bunyi itu datang dari luar tingkap bilik aku. Bunyi kompresor alat penghawa dingin yang dihentak. Aku panik. Aku ingatkan ada orang yang cuba pecah masuk tingkap aku.

Aku gagahkan diri untuk selak langsir untuk lihat apa yang sedang melompat-lompat atas kompresor alat penghawa dingin aku itu. Aku pejam mata, aku selakkan langsir perlahan-lahan, aku buka mata kecil-kecil. Dan aku nampak. Aku terkejut dan terus lari ke bawah untuk mendapatkan bibik.

'Bibik! Bibik!! Tolong saya! Ada tikus besar yang macam kucing tapi kurus di luar tingkap saya! Tolong!'

Bibik aku memang dah bangun untuk sembahyang subuh masa tu dengan coolnya bertanya, 'Apa? Tikus besar macam kucing tapi kurus?'

'Iya!!'
aku jawab.

'Oh.. itu musang. Tak apa-apa. Biarin aja.' bibik kata.

Musang? Di SS15 Subang Jaya ni ada musang? Wah.

'Dia makan orang ke tak?!! Saya takut bibik! Badan saya banyak isi!' aku tanya sebab aku tak tahu apa-apa pasal musang kecuali filem Musang Berjanggut.

'Tidak.. Dia makan buah aja..' jawab bibik yang dah sedikit malas nak layan aku.

Bibik beritahu lagi yang musang tu suka makan buah betik yang bibik aku tanam belakang rumah dan musang tu ada 4 beranak kesemuanya.

'Oh, 4 ekor....'

Jadi, aku baring di sofa ruang tamu hingga hari siang sambil memikirkan cara-cara untuk menebang pokok betik di belakang rumah.

***

Malam semalam aku bawa pulang set Snack Plate dari KFC untuk dimakan di dalam bilik sambil tengok tv. Aku memang suka makan sambil tengok tv dalam bilik. Ini penyakit, aku tahu. Tapi.. peduli apa aku.

Aku masuk bilik dengan dua ketul ayam goreng serta kentang putar dan coleslaw. Bila aku duduk saja, tiba-tiba kedengaran bunyi kompresor alat penghawa dingin aku dihentak-hentak.

'Ah, musang-musang ni lagi.' aku kata dalam hati.

Aku dah panik sikit, tapi aku cuba untuk buat-buat tak reti.

Aku sedapkan hati dengan mengulang suara bibik dalam otak aku, 'Musang makan buah aja.. Musang makan buah aja.. Musang makan buah aja..'

Bila aku dah tenang, aku buka kotak Snack Plate aku. Bunyi musang berlompat-lompatan di atas kompresor alat penghawa dingin aku di luar tingkap masih kedengaran..

Aku cuba distract kan diri dengan menghidu ayam goreng Kentucky aku.

'Aahh.... nikmat.'

Tiba-tiba aku teringat sebuah lagu..

'Ibu ayam dikejar musang (kok kok kok kok),
anak ayam cari ibunya (chip chip chip chip).

Ibu ayam berlari terus lari dan ditangkap musang.
Anak ayam mencari terus cari
, ibunya yang hilang..
Oh kasihan, oh kasihan,
aduh kasihan..'

Aku bungkuskan semula ayam goreng aku ke dalam kotak dan lari ke KFC berdekatan dan makan malam di situ.

Namanya Nima 2

Nima, teman serumah aku, Pak Arab yang suka menyanyi lagu-lagu Michael Learns To Rock, sudah berpindah beberapa hari yang lalu. Apa sebab dia pindah tidaklah aku ketahui. Aku relakan saja..

Tak banyak memori yang aku kongsi bersama dengan Nima sebab kami selalu berkurung sahaja dalam bilik masing-masing. Tapi aku agak merindui lagu-lagu (ya, aku mengaku!) dari playlist Nima seperti Paint My Love dan Nothing To Lose nyanyian MLTR, Cheeky Song (Touch My Bum), Still Loving You nyanyian Scorpions dan Goodbye nyanyian Air Supply.

Namun aku pasti, adik lelaki aku mesti merindui teman wanita Nima, seorang gadis Korea, yang selalu lepak di ruang tamu rumah bersama kawan-kawan perempuan Koreanya yang lain. Gadis-gadis comel. Mereka tak faham apa adik lelaki aku cakap dan adik lelaki aku pun tak faham apa mereka cakap tapi mereka saling memahami.

Teman wanita Nima faham yang adik lelaki aku suka lihat dia dan kawan-kawannya pakai hot pants dan adik lelaki aku faham yang mereka selesa memakai hot pants kerana cuaca negara kita panas.

Saling memahami.

Namun begitu, ada satu kejadian yang aku sukar untuk lupa tentang teman wanita Nima. Kejadian ini berlaku beberapa hari sebelum Nima berpindah.

Aku pulang dari kerja awal pada hari itu. Aku masuk ke bilik dan seperti biasa, aku dapati yang lagu Paint My Love sedang berkumandang dari bilik Nima. Aku lontarkan diri atas katil. Mahu tidur.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi suara teman wanita Nima sedang melafazkan perkataan-perkataan yang aku tak faham, yang pastinya apa yang dilafazkan itu dengan jelas menandakan yang mereka sedang berasmaradana atau bersetubuh atau bersenggama atau buat sek (kata budak-budak bawah umur yang tengok filem lucah di kafe siber IMAX Seri Ampang, Ipoh).

Bila aku dengar suara mengerang teman wanita Nima diselangi dengan baris-baris kata lagu Paint My Love, aku jadi segan (entah apahal). Jadi aku pun lakukan sesuatu untuk memberi indikasi kepada mereka yang aku dah balik rumah, silalah bersetubuh tanpa bunyi.

Aku buat-buat batuk kuat-kuat.

Ada bunyi asmara lagi.

Batuk lagi.

Masih ada bunyi asmara.

Batuk dengan lebih kuat hingga tekak rasa pedih.

Tiada lagi bunyi asmara.

Lega.

Aku baring, cuba untuk tidur..

Buat pertama kalinya aku rasa bahasa Korea tu seksi...

Friday, July 25, 2008

Dedikasi 2

Kepada semua peminat Tomok New Boyz, aku ada berita. Tomok bukan sahaja boleh menyanyi sambil tutup hidung (aku tak pasti sengau itu akibat dia tutup hidung sambil menyanyi atau memang semulajadi, sebab bagi lagu-lagu dari genre seperti yang dibawa oleh New Boyz itu, jika lebih sengau lebih feeeeel), Tomok juga selalu menghiburkan aku dengan hasil tulisannya.

Sila ke sini untuk tangkap lentok/tangkap cintan/tangkap leleh/tangkap nangis/tangkap ______ (isi sendiri perkataan yang kamu suka di dalam ruang. Contoh : basah)

Tuesday, July 22, 2008

Malang tidak berbau durian

Dari kecil aku memang suka makan durian. Buah durian, kuah durian, penkek durian, kek durian, tempoyak, dan segalanya yang durian.

Bila ada orang-orang yang tak tahan bau durian, aku hairan.

Kerana durian, aku boleh jadi lupa dunia. Lupa akhirat. Lupa harga minyak baru. Lupa deadline. Lupa tengok House. Lupa tengok Keeping Up With The Kardashians. Lupa untuk buat-buat lupa tentang deadline. Lupa segala.

Bahaya... kan?

Aku ingat lagi parti durian pertama dan terakhir yang aku hadiri sewaktu aku dalam lingkungan umur 6 tahun. Aku tak pasti sama ada itu adalah parti durian atau parti biasa yang ada durian.

Parti itu dianjurkan dan diadakan di rumah kawan Mat Nor yang bernama Salleh. Di situ ramai orang-orang dewasa pelik dari pelbagai bangsa yang aku jumpa. Hippies, bekas hippies. Aku tak pedulikan orang-orang dewasa pelik tu semua. Aku masuk ke rumah, salam dan cium tangan mereka dan aku terus cari durian.

Aku cari tanpa menggunakan mata, hanya guna hidung sahaja.

Belum sempat aku jumpa durian, Bini Mat Nor menarik aku dan memperkenalkan aku kepada kanak-kanak lain yang ada disitu. Kanak-kanak lain tu macam ragu-ragu bila nak bercakap dengan aku. Mungkin sebab rupa aku macam penyangak walaupun baru berumur 6 tahun. Mereka ajak aku bermain, aku setuju.

Terlalu asyik bermain hingga terlupa tentang tujuan aku ke situ ; durian.

Setelah penat main kejar-kejar, anak tuan rumah, si Hawa, ajak kami minum dalam rumah.

Semasuknya aku dan kanak-kanak lain dalam rumah, aku nampak semua orang-orang dewasa tengah menikmati durian dan beberapa jenis buah lain dengan lahap.

Ini tak boleh jadi! Aku terus duduk di tengah-tengah Mat Nor dan Bini Mat Nor, silang kaki dan makan durian. Seulas demi seulas demi seulas. Syurga dunia aku ketika itu.

Sedang aku asyik menikmati durian, Bini Mat Nor berkata pada semua orang yang ada di situ, 'Si Jebon ni memang hantu durian.'

Hantu durian di sini bermaksud seorang yang sangat suka makan durian, tiada kena mengena dengan apa-apa makhluk halus.

Mendengarkan apa yang Bini Mat Nor kata, kanak-kanak lain terus menjauhkan diri dari aku sambil menjerit-jerit 'Eee..hantu!! Hantu durian! Eeee, hantu!!!'

Aku buang durian yang baru aku nak masukkan ke dalam mulut, aku cuci tangan, aku cari kanak-kanak tadi.

'Saya bukan hantu durianlah! Saya dah tak makan durian dah, tengok?' aku kata sambil tunjuk tangan yang bersih.

Mereka kata, 'Kita orang tak nak kawan dengan hantu!!!' lalu mereka lari dari aku lagi sekali.

Aku cuba yakinkan berkali-kali pada mereka yang aku bukan hantu durian tapi setiap kali aku kejar, mereka akan menjerit seakan histeria.

Aku putus asa.

Kanak-kanak lain bergembira bermain.

Aku habiskan masa petang itu dengan memerhatikan mereka dari jauh,

sambil makan manggis.

Friday, July 18, 2008

24 Mei 1983, Petaling Jaya

Aku dilahirkan pada 24 Mei 1983 di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Pada hari kelahiran aku, Mat Nor dan kawan baiknya, Kit Leee, sangat terlebih excited.

Mahu tahu kenapa?

Menurut kata Bini Mat Nor, mereka terlebih excited kerana tarikh lahir aku sama dengan Bob Dylan.

Tsk.

Aku, Myra, Baini dan Tomok

Tadi aku saja google Tomok New Boyz. Kamu kenal?

Tomok adalah penyanyi utama kumpulan New Boyz.

New Boyz ni terkenal di kalangan orang-orang yang minat lagu-lagu genre macam hidup segan mati tak mahu tu. Yang lagu-lagunya sedih mendayu-dayu. Lagu lirik happy pun melodi sedih mendayu-dayu juga. Hairan.

Ada dua juniors di sekolah aku dulu tergila-gilakan si Tomok ni sampai tarik-tarik rambut sesama sendiri berebutkan si Tomok. Sebelah tangan tarik rambut, lagi sebelah tangan pegang majalah Mangga yang muka hadapannya tertulis 'S ialah teman istimewa Tomok'. Dua-dua budak sekolah aku yang berebutkan Tomok tu, nama mereka bermula dari huruf 'S'.

Aku bukan peminat New Boyz mahupun Tomok.

Cukup.

Aku google pula gambar-gambar New Boyz. (Iya, aku jarang melakukan benda yang berfaedah)

Tomok yang di tengah-tengah, rambut pun belah tengah (eh, murah cd dia orang).

Bila melihat rambut Tomok, aku teringat waktu pertama kali aku masuk ke kelab malam. Tahun 2002. Aku, Myra dan Baini dibawa masuk oleh kakak kepada salah seorang kawan kami.

Kelab itu bernama Orange. Masa tu Orange belum dihimpuni mat-mat rempit lagi.

Aku, Myra dan Baini ketika itu masih terlalu naif untuk mengenali dunia liar malam.

Aku masa tu sedang melalui fasa suka pakai topi. Aku tak tahu pula di dalam kelab Orange itu topi tidak dibenarkan. Sangat tak logik sebab mereka memainkan lagu hip-hop dan R&B. Bukan orang-orang hip-hop ni suka pakai topi ke? Entahlah.

Waktu aku ditahan di pintu masuk, aku ingatkan sebab aku bawah umur. Rupanya sebab aku pakai topi. Bouncer itu menyuruh aku tanggalkan topi dan meninggalkannya pada dia. Nanti nak balik baru ambil semula topi. Aku akur sebab aku takut walaupun aku tahu kalau aku tanggalkan topi setelah memakainya lebih dari 3 jam, rambut aku akan rupa macam haram jadah. Rupa macam bentuk topi la kiranya.

Jadi, malam itu adalah malam pertama aku, Myra dan Baini merasai suasana kelab malam di Kuala Lumpur.

Tiga orang suci yang seorangnya berambut leper belah tengah, dan dua orang lagi berpakaian lengkap seperti mahu ke pasar malam Seksyen 18.

Minuman pilihan malam itu : Orange juice sebab kononnya cool minum orange juice di kelab Orange. Faham? Orange di Orange.

Itu 2001. Memang kami tak cool.

Sekarang 2008. Kami... masih tak cool.

Tapi Myra dan Baini sudah bijak berfesyen. Mereka akan berpakaian seperti mahu ke pasar malam Seksyen 18 hanya ketika mahu ke pasar malam Seksyen 18 sahaja.

Dan yang paling penting, rambut aku dah tak belah tengah lagi.

Apa ada pada nama

Semalam aku pergi ke Kuala Kubu Bharu menaiki komuter buat pertama kalinya. Ada urusan kerja. Aku menghantar mesej teks kepada Bini Mat Nor.

Aku : Mak, hari ni Jebon ada kerja kat Kuala Kubu Bharu tau. Apa-apa hal teks je.

Bini Mat Nor : Okay. Jaga diri. Kalau pergi Magick River carilah Kit Leee.

Aku : Dia tinggal kat situ lagi ke?

Bini Mat Nor : Ha'ah. Magick River tu kan banyak magic mushrooms.

Aku : Oh, magic mushrooms..

Bini Mat Nor : Kamu jangan nak makan benda yang bukan-bukan tu (insert nama betul aku disini)!

Kit Leee adalah salah seorang kawan baik Mat Nor. Dulu nama samaran mereka M. Eeel dan Nashville Slim. Hippies.

Aku ingat lagi, sewaktu aku 8 tahun. Aku diperkenalkan kepada anak Kit Leee yang waktu itu mungkin 20 tahun. Namanya Belle. Seorang model sambilan. Fikir sendirilah rupa dia macam mana cantiknya.

Aku mengamuk. Sebab aku tak suka nama aku dan nama anak Kit Leee sedap. Belle.

Sebagai seorang yang hanya 8 tahun ketika itu, bila sebut Belle aku terus terfikirkan Tinkerbell.

Aku terus marah Mat Nor sebab tak namakan aku Peter Pan.

Sekarang, aku bersyukur nama aku bukan Peter Pan.