Selepas membaca entri dari Magenta yang bertajuk
Obsesi Masyarakat dengan Kulit Putih, serta entri dari
Sue Anna Joe dan
Perempuan Jomblo yang berkaitan dengan topik yang sama tidak berapa lama dahulu, aku rasa terpanggil untuk menulis tentang pengalaman aku sebagai seorang yang berkulit tidak putih yang hidup di Malaysia.
Tidak diterima dan dihakimi kerana paras rupa dan warna kulit adalah perkara biasa.
Antara peristiwa pertama yang aku ingat tentang aku tidak diterima, kerana warna kulit aku yang agak hitam ini, berlaku pada penghujung tahun 1991 sewaktu aku berumur 8 tahun.
Pada waktu itu, semua di sekolah sibuk dengan persiapan Hari Penyampaian Hadiah. Aku sedih juga kerana tak dapat naik ke pentas dewan untuk menerima hadiah murid terbaik. Tapi oleh kerana kad laporan aku memang menyerupai gampang, aku terpaksa terima kenyataan. Lagipun, aku bukan nak sangat hadiah murid terbaik tu.. Aku nak naik ke pentas dewan sekolah saja. Teringin. Itu misi penting aku ; naik ke pentas dewan sekolah dengan apa cara sekalipun.
Jadi apabila ada sesi ujibakat untuk menyertai sebuah persembahan lakonan sempena Hari Penyampaian Hadiah, aku menyimpan hasrat untuk mendapatkan watak utama persembahan tersebut supaya aku boleh naik ke pentas dewan sekolah. Ini peluang aku.
Ujibakat untuk watak utama persembahan murid darjah 2 diadakan di bilik muzik dan dikendalikan oleh Puan Rohana (aku rasa itulah nama dia, tak berapa ingat). Sedang aku menunggu giliran untuk dipanggil, aku ternampak Michelle Mariam yang juga sedang menunggu giliran untuk diujibakat.
Michelle Mariam adalah rakan sekelas aku. Dia berdarah kacukan Melayu dan Inggeris. Dengan kulitnya yang putih kejinggaan, rambut semulajadi
blonde nya,
freckles di hidung dan pipinya, dia memang tidak menyerupai mana-mana murid Melayu pun. Kalau ada pun anak Melayu yang berambut
blonde, itu pastinya tidak asli. Dan kalau ada anak Melayu yang macam ada
freckles di hidung dan pipi, kemungkinan besar itu adalah jeragat atau
blackheads, bukan
freckles.
Aku rasa Michelle Mariam sendiri pun tahu, menjadi anak kacukan comel seperti dia ada banyak kelebihan. Antara kelebihan itu ialah semua cikgu suka dan memanjakan dia. Tetapi dia tidak menyalahgunakan kelebihannya itu. Dia baik.
Jadi bila aku ternampak Michelle Mariam yang juga sedang menunggu giliran untuk diujibakat, aku hampir putus harapan. Aku tahu, kalau dibandingkan aku dengan dia, memang dia lagi comel dan cantik. Dia ibarat
Heidi Klum dan aku pula ibarat
T.Pain (
rapper dalam lagu
apple bottom jeans, boots with fur tu).
Tapi aku teruskan juga dengan sesi ujibakat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Semasa giliran aku diujibakat, tanpa disuruh, aku buat monolog dari filem animasi kegemaran aku waktu itu, iaitu
The Land Before Time. Aku tak ingat babak mana atau watak siapa, tapi aku siap buat gaya dinosaur, itu yang pasti.
Akhirnya, aku tidak dapat pun apa-apa watak. Puan Rohana memberitahu aku yang aku tidak sesuai untuk
play tersebut. Dia juga berkata yang aku patut masuk pasukan pancaragam genderang sekolah. Sampai hari ni aku tak faham kenapa.
Dan seperti yang dijangkakan, watak utama menjadi milik Michelle Mariam.
Mungkin salah aku juga. Tapi aku terima dengan tabah dan aku redha.
Manalah aku tahu bahawa ujibakat yang aku hadiri tu untuk mencari pemegang watak Snow White.
Tak ada notis pun.